Sunday, 13 October 2019

Terengganu Lulus RM500 Ribu Bina Jalan Industri Teluk Kalong

SHARE
Pengurusan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) turut mengambil bahagian dalam sesi Town Hall MPK.
Oleh: Khalid Abdullah

KEMAMAN, 13 Oktober - Kerajaan Negeri Terengganu meluluskan peruntukan segera bernilai RM500,000 untuk membina jalan baharu ber'standard' industri di Kawasan Perindustrian Telok Kalong, Kijal, Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar mengumumkan berita tersebut pada sesi Town Hall Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di Bandar Cukai di sini baru-baru ini.

“Ada permohonan dari pemain industri di Telok Kalong yang memerlukan jalan yang lebih baik, kalau hendak 'bid' (bida) projek susah dapat kalau jalan tidak elok, risiko bahan kimia tumpah dan sebagainya.

“Kita minta MPK buat segera, kalau boleh keluar tender esok, lusa boleh buat (bina) selalu,” seloroh beliau.


Seramai 156 orang pemain industri mewakili 'operator' minyak dan gas dari Kawasan Perindustrian Telok Kalong dan Taman Biopolimer Kertih mengambil bahagian dalam perjumpaan berkenaan.

Menurutnya juga, Kerajaan Negeri Terengganu akan merampas kembali tanah industri yang tidak dimajukan.

“Syarat sewaktu kerajaan beri dahulu adalah mesti membina kilang dan menjalankan perniagaan yang dibenarkan dalam tempoh tertentu.

“Mereka gagal dan kita sudah lama bertolak ansur, ini merugikan kerajaan dan membantutkan pembangunan di Kemaman sendiri.

“Contohnya di Telok Kalong, ramai mohon tanah untuk industri baharu, tetapi kita tiada kawasan lagi sebab sudah diberi milik, walaupun jika pergi ke tapak, tanah itu masih kosong,” katanya.

Beliau juga berhasrat mengurangkan karenah birokrasi di pejabat-pejabat kerajaan.

“Kekurangan kakitangan terutamanya di pejabat tanah dan pejabat agama perlu diambil tindakan, bagaimana nak suruh mereka bekerja, sedangkan kakitangan tidak cukup.

“Kita perlu baiki sebarang masalah yang ada supaya rakyat lebih sejahtera,” tambah beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: