Monday, 14 October 2019

Terengganu Kehilangan Lagenda Bola Sepak

SHARE
Allahyarham Zulkifli Puteh duduk paling kiri.
Oleh: Nasir Abdullah

KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Bekas pemain pertahanan bola sepak pasukan Terengganu, Zulkifli Puteh, 59, meninggal dunia akibat diserang sakit jantung di rumah beliau awal pagi kelmarin.

Menurut ibu mertuanya, beliau dikejarkan ke hospital setelah rebah ketika mengambil wudhu untuk solat Subuh di rumahnya di Bukit Kubang Jambu, Pulau Musang, Wakaf Mempelam.

Beliau yang masih bertugas dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, kemudiannya disahkan meninggal oleh pihak hospital.

Jenazah beliau telah selamat dikebumikan di perkuburan Tok Pelam selepas Zohor kelmarin dan solat jenazah telah diimamkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.

Ustaz Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, merakamkan mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham serta melahirkan setinggi penghargaan atas jasa serta pengorbanan allahyarham ketika mewakili Terengganu dahulu dan berdoa agar ruh allahyarham dirahmati dan diampuni Allah.

Allahyarham Zulkifli Puteh adalah antara nama tersohor bolasepak Terengganu pada sekitar awal 80an bersama dengan allahyarham Yahya Jusoh, Syed Mutalib, Zulkifli Hamzah, Zulkifli Ismail, Nasir Jalil dan Abdullah Ali yang berjaya membawa pasukan Terengganu ke final Piala Malaysia bagi kali kedua pada tahun 1982.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: