Wednesday, 2 October 2019

Terengganu Ke Persidangan Ahli Parlimen Komanwel

SHARE

ANKARA, 2 Oktober - Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Yahaya Ali dan rombongan selamat dalam perjalanan pulang setelah menyertai Persidangan Ahli Parlimen Komanwel (CPA) yang ke-64 di Kampala, Uganda.

Kesempatan persinggahan di Turki dapat diatur dengan melibatkan beberapa agenda kerja yang lain. Antara lain, Speaker Parlimen Turki, Prof. Dr. Mustafa Sentop turut menerima kunjungan hormat delegasi rombongan di pejabat rasminya di Parlimen Turki di sini kelmarin.

Pertemuan rasmi yang berlangsung sekitar satu jam itu turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Haji Hishamuddin Abdul Karim dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Haji Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Terdahulu, rombongan sempat mengunjungi Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan juga mengadakan pertemuan rasmi bersama Presiden Parti Saadet, Mr. Temel Karamollaoglu.


Ketika dihubungi, beliau menyatakan tujuan utama lawatan adalah untuk menerima pengalaman pengurusan sebuah badan legislatif dalam memperkukuhkan peranan sesebuah kerajaan.

“Badan legislatif sewajarnya menjadi satu medium utama semak dan imbang bagi memberikan keberkesanan yang lebih buat pentadbiran kerajaan," ujar beliau.

“Pertemuan rasmi bersama Prof.Dr Mustafa Sentop amat berharga dan sebenarnya kami tidak menjangkakan usaha pertemuan ini akan disambut dengan begitu meriah oleh pihak Parlimen Turki.

"Ia sekaligus merupakan usaha membina rangkaian untuk kepentingan negeri Terengganu agar peluang menyuburkan pertumbuhan ekonomi negeri dapat dilangsungkan dengan sebaiknya," jelasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: