Wednesday, 2 October 2019

Terengganu Ke Arah Penggunaan Teknologi IR 4.0 Dalam Sektor Pertanian

SHARE

KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Penggunaan teknologi menuju ke arah revolusi industri (IR) 4.0 dalam sektor pertanian perlu diperluaskan termasuk penggunaan teknologi pintar seperti Internet Kebendaan atau Internet of Things (IoT) dalam aktiviti itu yang berupaya memajukan lagi sektor berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, potensi besar dalam IoT wajar diberi perhatian untuk memodenkan industri pertanian terutama melalui subsektor makanan dan industri komoditi pertanian.

Ariffin berkata, menerusi penggunaan teknologi ini, ianya akan memberi peluang dan platform kepada masyarakat terutama kumpulan petani untuk memajukan diri dan sektor pertanian negeri selaras dengan usaha kerajaan negeri yang kini giat membangunkan sektor pertanian berasaskan teknologi digital.
“Kita sedang berusaha melengkapkan infrastruktur berkaitan di negeri ini menerusi kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan beberapa pihak lain bagi membolehkan kecanggihan teknologi diaplikasikan berbanding kaedah tradisional sebelum ini.

“Dalam usaha menuju ke arah IR 4.0, proses melengkapkan kemudahan yang diperlukan seperti menara dan lain-lain turut diberi perhatian kerana ia bukan sahaja bakal memberi manfaat kepada mereka yang terlibat dalam bidang pertanian tetapi juga bidang-bidang lain,” ujarnya ketika dihubungi pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Menurut Ariffin, menerusi penggunaan sistem IoT, produktiviti juga dapat dapat dipertingkatkan seterusnya membolehkan pengeluaran yang lebih besar boleh dicapai.

"Menerusi IoT dan pertanian pintar ini, kita mempelawa petani muda menceburi bidang pertanian kerana ia tidak lagi membabitkan penggunaan tulang empat kerat sepenuhnya, tetapi dipacu oleh teknologi di hujung jari,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: