Monday, 7 October 2019

Terengganu Jangka Terima Royalti RM1.28 Billion Tahun Hadapan - MB

SHARE
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober -
Kerajaan negeri dijangkakan akan menerima wang tunai petroleum (WTP) RM1.28 bilion daripada kerajaan Persekutuan pada tahun hadapan.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata anggaran itu berdasarkan perolehan hasil royalti petrolium sebelum ini dan ia bergantung kepada harga minyak dunia semasa pada kadar ASD60 setong.

Justeru itu, katanya, Belanjawan 2020 bagi negeri Terengganu yang bakal dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 24 November ini, akan difokuskan kepada empat teras utama berdasarkan jangkaan perolehan yang bakal diterima daripada kerajaan Persekutuan menerusi royalti minyak.

"Secara keseluruhan pada 2019 jumlah royalti minyak yang sepatutnya kita terima sebanyak RM1.28 bilion.

"Kita anggarkan jumlah yang sama diterima tahun ini dengan mengambil kira nilaian semasa harga minyak dunia, kalau harga minyak naik kita akan dapat lebihan daripada bajet kita, kalau harga minyak turun kita akan dapat kurang.

"Justeru kita menetapkan empat sasaran utama untuk ditekankan pelaksanaannya menerusi jumlah ini iaitu memperkukuh dan memartabatkan agama Islam; memacu pertumbuhan ekonomi rakyat; melestarikan kehidupan sejahtera dan membangunkan modal insan," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas merasmikan Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu dan menyaksikan Majlis Menandatangani (MoU) di Lot PT 4048 (G), Blok E, Ladang Tok Pelam, di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri; Satiful Bahri Mamat; Pengerusi KKYT, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamuddin Hashim.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berharap Belanjawan 2020 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Jumaat ini, Terengganu tidak ketinggalan untuk menerima limpahannya dalam pembangunan negeri.

"Saya berharap projek pembangunan dan infrastruktur terutama yang dibawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan tidak di negeri ini tidak dipinggirkan termasuk bantuan untuk wanita, warga emas dan masyarakat yang memerlukan.

"Kita juga berharap kerajaan pusat dapat menyelesaikan masalah hakisan di negeri ini, pembinaan jambatan, isu berkaitan projek perumahan, sistem saliran, pembinaan hospital dan beberapa perkara lagi," ujarnya.

Sementara itu, mengulas tentang Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dilancarkan Perdana Menteri Sabtu lalu,  beliau menyambutnya secara positif.

Ahmad Samsuri berkata, beliau akan berhubung secara terus dengan Putrajaya untuk memastikan Terengganu mencapai sasaran yang ditetapkan dalam 10 sasaran utama wawasan berkenaan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: