Tuesday, 15 October 2019

Terengganu FC Tagih Khidmat Anak Jati - MB

SHARE
Ahmad Samsuri mahu tumpu pembangunan bakat dari peringkat bawah.
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Pasukan Terengganu FC bakal mempertaruhkan khidmat anak jati negeri itu dalam menghadapi kancah Liga Malaysia musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha itu dijangka mampu menjimatkan perbelanjaan PBSNT sehingga 30 peratus, selain berjaya mengetengahkan bakat-bakat baharu ke peringkat lebih tinggi.

“Rombakan pasukan yang hampir 50 hingga 60 peratus adalah muka-muka baharu dan 70 hingga 80 peratus adalah anak kelahiran Terengganu sama ada yang dikekalkan, dinaikkan (dari TFC II hingga IV) atau (dirisik) dari pasukan lain.

Kongres Tahunan PBSNT 2019 menjadi titik permulaan bagi mencorak pasukan Terengganu FC.
“TFC II juga akan turut dirombak dengan mempertaruhkan pemain-pemain muda yang hampir 100 peratus anak jati Terengganu,” jelasnya pada sidang media selepas Kongres Tahunan PBSNT di Hotel Permai di sini hari ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak akan menjadi gelanggang rasmi TFC I bagi mengharungi perlawanan Liga Malaysia 2020.

Menurut beliau, kerja-kerja menaik taraf padang yang dibiayai Liga Bola sepak Malaysia (MFL) sudah siap sepenuhnya bagi sebarang perlawanan Liga Malaysia.

“Bagaimanapun kita ada sedikit penambahbaikan pada beberapa bahagian, seperti di bilik persalinan dan bilik tetamu yang kita jangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

“Untuk perlawanan pertama Liga Super 2020, TFC I akan beraksi di SSMZA yang lebih selesa dan kapasiti lebih besar sementara TFC ll kekal di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah,” tambah beliau.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: