Thursday, 31 October 2019

Terengganu FC Gah Rangkul Piala Kelab Antarabangsa

SHARE
Foto oleh - Media TFC.
KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Terengganu Football Club (TFC) muncul juara Piala Kelab Antarabangsa Sheikh Kamal selepas menewaskan Abahoni Limited 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium M.A Aziz Chattogram, sebentar tadi.

Kejayaan skuad kendalian Nafuzi Zain itu diraih selepas dua pemain muda menyempurnakan peluang yang terhidang pada separuh masa pertama.

Skuad TFC membuka jaringan seawal minit ke-16 menerusi Hairiey Hakim yang menanduk cantik sepakan penjuru Lee Tuck.

Hairiey yang dikawal ketat pertahanan berjaya meloloskan diri untuk memberi jaringan pertama sekali gus melenyapkan sokongan padu penyokong tuan rumah.

Tersentak dengan jaringan itu, Abahoni melancarkan serangan bertali arus ke kubu TFC, namun pertahanan yang diketuai Serhii Andrieviev tenang mengawal keadaan.

Berselang empat minit kemudian, gerakan menarik Zuasyraf Zulkifli yang melakukan serangan balas berjaya disudahkan dengan bergaya oleh Azalinullah untuk kedudukan 2-0.

Perlawanan terus berlangsung rancak dengan aksi berbalas serangan kedua-dua pasukan, namun kegagalan penyudah menghasilkan gol menyaksikan kedudukan 2-0 kekal hingga tamat separuh masa.

Bermula babak kedua, permainan bertambah menarik dengan asakan bertubi-tubi pasukan tuan rumah.

Hasilnya pada minit ke-48, penyerang import berbisa Abahoni, Rotkovic Luka melepaskan satu rembatan kencang selepas berlaku kelam kabut di dalam  kotak penalti TFC.

Jaringan itu menggamatkan stadium yang dibanjiri kira-kira 35,000 penyokong.

Aksi kemudiannya bertambah sengit dengan pelbagai percubaan menarik, namun keputusan 2-1 memihak TFC terus kekal hingga wisel penamat.

Kemenangan tersebut menyaksikan TFC membawa pulang piala kejohanan dan hadiah wang tunai 50,000 USD.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: