Monday, 7 October 2019

Terengganu Bercadang Wujudkan Pasar Ternakan Di Jabi

SHARE
Dr Azman Ibrahim.

SETIU, 7 Oktober – Kerajaan negeri sedang menyusun dan menyiapkan perancangan rapi bagi mewujudkan sebuah pasar ternakan di Jabi dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pasar berkenaan akan menggunakan konsep jualan terus daripada penternak kepada pengguna.

Ujarnya, ternakan seperti lembu, kambing, kerbau, ayam, itik, burung puyuh, arnab, rusa, ikan dan udang akan dihimpunkan secara terbuka dalam acara dwibulanan tanpa melalui orang tengah.

Moto kita ialah ‘penternakan adalah satu kerjaya’ dan pelaksanaannya secara kaedah ‘mu buat kami bantu’.

“Saya yakin ia mampu menjadi satu rangsangan sosioekonomi kepada masyarakat setempat terutamanya di sekitar Jabi ini,” jelasnya dalam satu kenyataan di ‘Facebook’ rasminya semalam.

Menurut Azman, idea untuk mewujudkan pasar itu muncul berikutan sambutan hangat yang ditunjukkan oleh pengunjung dalam Himpunan Peladang, Penternak dan Nelayan Terengganu baru-baru ini.

“Sangat teruja melihat Dataran Pekan Jabi dikunjungi ratusan ribu pengunjung sepanjang HPPNT 2019, kemudian disusuli dengan Himpunan Lembu Sado Pantai Timur (HLSPT).

“Ia memberikan suatu isyarat dan keyakinan bahawa bidang kerjaya ini mempunyai satu tempat yang istimewa di hati masyarakat kita,” katanya.

Tambah beliau, usaha berkenaan juga mampu mengangkat Pekan Jabi sebagai pusat mencari haiwan ternakan dalam kalangan masyarakat.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: