Wednesday, 23 October 2019

Terengganu Atur Strategi Lonjak Prestasi Atlet - MB

SHARE


MoU antara MSNT dan TATIUC bagi membangunkan sukan serta atlet di Terengganu.
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Persefahaman bersama antara Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Kolej Universiti TATI (TATIUC) adalah strategi awal Terengganu untuk terus melonjakkan prestasi atlet negeri itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembangunan atlet tersebut tidak hanya tertumpu di medan sukan sahaja, tetapi kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun kemahiran teknikal turut diutamakan.

Jelasnya, kerjasama yang pertama antara institusi sukan dengan pusat pengajian dan penyelidikan itu diharap mampu membangunkan sukan Terengganu ke peringkat lebih tinggi.

“Institusi penyelidikan ini (TATIUC) akan bertindak sebagai ‘research and development’ (RnD) dalam membangunkan sukan, di samping merangka program-program latihan dan seminar yang melibatkan sukan.

“Bahkan kerjasama antara MSNT dengan TATIUC ini akan membuka lebih banyak peluang kepada para atlet untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MSNT dan TATIUC di Damai Lounge, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ahmad Samsuri mahu setiap atlet Terengganu cemerlang dalam sukan dan pendidikan.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Rektor TATIUC, Profesor Dr Anuar Ahmad dan Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri memaklumkan, usaha berkenaan juga adalah sebagai persediaan bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun hadapan di negeri Johor.

Katanya, bagi peringkat permulaan kerjasama itu, kedua-dua pihak akan mengetengahkan atlet-atlet daripada sukan angkat berat.

“Projek ini kita mulakan dengan kemasukan atlet-atlet angkat berat terlebih dahulu. Sehingga kini seramai tujuh orang atlet lelaki telah diambil belajar, tiga orang dalam kursus diploma dan empat orang lagi mengikuti kursus kemahiran.

“Semoga projek ini akan merancakkan pembangunan sukan di negeri kita dengan adanya atlet mahir, cekap dan berpendidikan,” tambah beliau.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: