Friday, 18 October 2019

TDI Belanja RM10.8 juta Setahun

SHARE
Haji Hanafiah Mat

DUNGUN, 18 Oktober – Tabung Darul Iman (TDI) membelanjakan kira-kira RM10.8 juta setahun untuk menyelesaikan masalah kebajikan rakyat termasuk penyakit kronik, kebakaran, kemalangan dan keperluan sara diri.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, setiap bulan kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM900,000 untuk tujuan tersebut.

Untuk itu katanya, mereka yang memerlukan bantuan kewangan dan lain-lain dari TDI perlu mengisi borang secara atas talian dan disertakan dengan dokumen pengesahan daripada doktor untuk masalah penyakit kronik.

“Untuk menyelesaikan kes permohonan perubatan itu, sesiapa yang berkenaan perlu pergi ke jabatan sosial yang ada di hospital daerah masing-masing.

“Jabatan sosial akan menghubungi TDI dan mencadangkan supaya mereka yang berkenaan diberi bantuan sepatutnya,” kata beliau ketika menjawab satu soalan orang ramai di Majlis Dialog Exco Kerajaan Negeri Bersama Rakyat di Dewan Majlis Perbandaran Dungun di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahari Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan ADUN Rantau Abang, Haji Alias Harun.

Orang Ramai yang hadir di Majlis Dialog Exco Kerajaan Negeri Bersama Rakyat di Dewan Majlis Perbandaran Dungun semalam.

Jelas Hanafiah lagi,  pemohon hendaklah melalui prosedur biasa permohonan dengan mengisi borang atas talian dan jika gagal mendapat respon segera, mereka terbabit boleh terus menghubungi beliau.

“Kalau nak masuk besi umpamanya bagi mereka yang terlibat dengan kemalangan, biasanya dalam masa empat hari, kita luluskan selalu.

"Kalau dia isi borang cepat, dihantar nama kepada saya, saya akan arahkan TDI lulus seta merta kerana doktor mahu masukkan besi dalam mana-mana bahagian tubuh pesakit, kecuali pemohon minta lampin, sara diri dan perkara lain, yang itu makan masa tiga bulan,” jelasnya.

Beliau yang juga ADUN Chukai berkata, sebelum ini rumah terbakar sewaktu kerajaan terdahulu mengambil masa 12 bulan untuk diselesaikan dengan peruntukan sekitar RM40,000 sebuah rumah.

Katanya, kerajaan negeri yang baharu membuat keputusan bahawa peruntukan untuk membaiki rumah terbakar dinaikkan kepada RM56,000 untuk mengatasi masalah tersebut.

Katanya, ini kerana peruntukan sebelum itu tidak menguntungkan kontraktor dan jika ada keuntungan pun di sekitar RM1,000 dan kadangkala rugi sehingga RM3,000.

“Peruntukan itu agak kecil untuk kes berkenaan menyebabkan ramai dari kontraktor menolak projek seumpama itu.

“Bila PAS mengambil alih kerajaan saya membuat satu keputusan untuk TDI bahawa setiap rumah terbakar, selepas Pejabat Daerah dan TDI membuat siasatan, rumah terbakar itu mesti dibaiki segera dalam masa empat bulan selepas kejadian.

“Saya tidak mahu berlaku birokrasi di peringkat Pejabat Daerah kerana untuk membuat tender membaiki rumah berkenaan memakan masa sampai tiga minggu.

"Jadi mana-mana pemilik rumah terbakar masih tidak mendapat bantuan TDI dalam tempoh tiga bulan, boleh terus hantar mesej atau maklumat itu kepada saya," ujarnya.

Katanya, untuk membuat permohonan secara atas talian, pemohon perlu berurusan dengan pejabat Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) di daerah masing-masing.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: