Tuesday, 22 October 2019

Tak Menyesal Pilih Ternakan Ikan Hibrid

SHARE

Oleh: Wan Luqman Hakim

BESUT, 22 Oktober – Jika sebelum ini beliau mengusahakan nurseri perhiasan pokok bunga tetapi keinginan untuk mencuba sesuatu yang baharu menyebabkan Wan Adilah Wan Awang, 42 nekad untuk membuka pusat asuhan ikan kerapu hibrid di Kampung Air Tawar, Besut.

Ternyata tindakan berani yang diambil Wan Adilah telah membuahkan hasil apabila menjadi anak tempatan yang berjaya melakukan asuhan benih ikan kerapu hibrid.

Katanya,  ramai pihak terutama rakan-rakan terdekat tidak bersetuju dengan tindakannya itu, namun beliau tetap tekad untuk beralih bidang sebagai penternak asuhan ikan kerapu hybrid.

“Selepas dinasihatkan pelbagai pihak, saya nekad menjadi penternak asuhan ikan kerapu hybrid walaupun mendapat tentangan kawan-kawan.

“Kemahiran melakukan asuhan ikan kerapu hibrid diperoleh selepas mengikuti kursus di Pusat Latihan Jabatan Perikanan di Terengganu kemudian mengikuti kursus bahagian infra di Jakarta dan kursus asuhan pula di Bali Indonesia kerana pusat pengeluar ikan kerapu hibrid paling besar di dunia adalah di Bali.

“Alhamdulillah, kini saya memperoleh pendapatan lebih besar berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Wan Adilah
Kebolehan dimiliki wanita cekal yang memiliki Ijazah Bahasa Melayu Universiti Putera Malaysia (UPM) menerima pujian banyak pihak, termasuk Jabatan Perikanan Terengganu.

Menurutnya, dia kini memiliki 19 kolam tangki simen di kawasan seluas satu ekar di kampung berkenaan yang dibina atas tanah berlesen kerajaan(TOL).

“Sekarang saya memiliki 15,000 ikan kerapu dan sedang membina pusat asuhan sebanyak 21 tangki lagi yang akan diisi ikan kerapu, siakap dan bawal emas yang dijangka siap bulan December nanti,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi wan Abdullah yang meluangkan masa  melawat tempat asuhan ikan tersebut  turut memberi kata-kata semangat dan nasihat supaya bersabar dalam bidang yang diceburi tersebut.

 Harga dan permintaan benih yang tinggi di dalam dan luar negara menjadikan kerapu hibrid dikomersialkan sama ada di peringkat telur, benih dan ternakan.

Jika dibandingkan ikan lain, kerapu hibrid mempunyai nilai komersial lebih tinggi berbanding siakap dan spesies ikan lain kerana mempunyai ketahanan yang tinggi, hasil tuaiannya lebih cepat, kurang kecacatan dan mudah diternak.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: