Sunday, 13 October 2019

Sultan Mizan Berkenan Sampaikan Hadiah Kepada Pemenang Sultan Mizan Cup 2019

SHARE

SETIU, 13 Oktober- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Sultan Mizan 2019 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, hari ini.

Ketibaan baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Mohd Azahar serta barisan EXCO kerajaan negeri.

Terdahulu, Sultan Mizan turut berkenan menyempurnakan pelancaran Riding for The Disabled Association (RDA) Terengganu sempena kejohanan tersebut.

Kejohanan itu diungguli Royal Kelantan Endurance (RKE) yang menyaksikan pasukan terbabit berjaya membolot hadiah utama bagi kategori 120 kilometer dalam acara individu dan kuda terbaik.


Dengan catatan masa 7:21:27 membolehkan Mohd Aminuddin Ali dari RKE memenangi tempat pertama bagi acara individu.

Kemenangan tersebut membolehkan beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000, sebuah motosikal dan 'numnah'.

Manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi Wipawan Pawitayalarp dan Warit Khuntaraporn dari pasukan The Horses, Thailand.

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000 dan RM10,000 serta sebuah motosikal dan 'numnah'.

Sementara itu, kuda yang diberi nama ‘Prince’ ditunggangi oleh Mohd Aminuddin dari pasukan RKE dinobatkan kuda terbaik sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM25,000, sebuah motosikal dan empat keping 'numnah'.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: