Monday, 14 October 2019

Sultan Mizan Berangkat Ke Majlis Santapan Malam UniSZA

SHARE
Sultan Mizan bersama Sultanah Nur Zahirah.

KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menghadiri Majlis Santapan Malam Sempena Majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke-11 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, semalam.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 8.40 malam diiringi Sultanah Terengganu yang juga Tuanku Canselor UniSZA , Sultanah Nur Zahirah, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali, Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan bersama 300 tetamu daripada kerabat, kakitangan awam, badan korporat serta wakil dari seluruh universiti awam dan institut pendidikan tinggi swasta.

Sementara itu, Hassan Basri ketika menyampaikan ucapan berkata, UniSZA bakal melancarkan pelan strategik 2020-2022 dengan visi baharu sebagai Universiti Islam Integrasi Kontemporari.

“Visi dan misi baharu ini pada hakikatnya bukanah sesuatu yang baharu kerana ia mendukung roh perjuangan UniSZA selama hampir 40 tahun, berteraskan lapan nilai teras yang terkandung lapan kelompok utama pada logo UniSZA.


“Kesemua nilai teras utama ini dinamakan Naseem yang memberi makna hembusan bayu yang lembut. Dalam bentuk metafora, hembusan bayu lembut tidak bermaksud lemah tapi nyaman dan dingin yang dapat dirasai kehadirannya.

“Seumpama Naseem, kehadiran UniSZA bersifat Rahmatan Lil Alamin, berupaya mendamai lingkungan, berperanan memberi manfaat dan meninggalkan dampak positif kepada masyarakat,” ujarnya.

Selain itu, Sultanah Nur Zahirah berkenan menerima sumbangan tabung wakaf UniSZA daripada agensi kerajaan dan perbankan.

Hassan Basri memaklumkan usaha tersebut adalah strategi universiti untuk memperkasa sektor wakaf kerana kebergantungan sepenuhnya kewangan kepada geran kerajaan sudah tidak releven.

“Realiti ini ternyata memacu universiti untuk menerokai pelbagai ruang strategi demi kelangsungan pendidikan tinggi dan usaha yang digerakkan hampir tiga tahun ini memanfaatkan hampir 3,000 penerima menerusi 70 aktiviti agihan,” tambah beliau.

Dalam majlis itu juga, Sultanah Nur Zahirah turut berkenan menyampaikan hadiah kepada dua pelajar yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja iaitu Wan Alif Asyraf Wan Nor Ruddin dan Mohd Aswan Mohd Amin.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: