Monday, 14 October 2019

Senarai Kejurulatihan Terengganu FC Diumum Esok

SHARE
Hishamuddin Abdul Karim.
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Senarai penuh barisan kejurulatihan skuad Terengganu FC (TFC) I hingga IV akan disahkan secara rasmi dalam Kongres Biasa Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) esok.

Timbalan Presidennya, Hishamuddin Abdul Karim berkata, biarpun telah tersebar beberapa nama untuk mengisi jawatan tersebut, keputusan rasmi hanya akan diketahui selepas diumumkan Presiden PBSNT yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menafikan kesahihan senarai jurulatih yang tular sejak beberapa hari lalu itu termasuk pengekalan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih TFC I.

“Prestasi Nafuzi sepanjang memangku tugas tersebut memuaskan, apatah lagi barisan pemain yang ada merupakan pilihan bekas jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.

“Musim baharu nanti akan menguji kredibiliti sebenar dan berkemungkinan beberapa pemain TFC IV dibawa masuk ke skuad utama Liga Super.

“Sebab itu kami bercadang untuk gandingkan Nafuzi dengan Subri (jurulatih TFC IV),” jelas Hishamuddin ketika dihubungi pemberita hari ini.

Dalam senarai nama yang tersebar di media sosial itu, tugas pengendali TFC II akan diserah kepada Roshadi Wahab sambil dibantu Sapian Wahid dan Md Noor Derus.

Badrul Afzan Razali pula kekal membimbing TFC III setelah membawa skuad itu ke separuh akhir Piala Presiden musim ini, manakala Wan Adremy Indera Wan Adnan dilantik selaku jurulatih baharu TFC IV.

“TFC akan membuat perubahan musim depan dan berhasrat memperkenalkan DNA bola sepak tersendiri,” tambah beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: