Tuesday, 15 October 2019

Semangat 'Team Work' Gasing Perlu Diterjemahkan

SHARE
Pasukan Kampung Bukit Berangan diisytiharkan Johan dalam Pertandingan Kejohanan Gasing Tradisional Peringkat DUN Tepoh di Gelanggang Gasing Kedai Tepoh Kuala Nerus 12 Oktober lalu. Hadiah disampaikan oleh Hishamuddin (dua dari kiri).

Oleh:  Mohd Zukifli Mat

KUALA NERUS 15 Oktober – Permainan Gasing antara contoh terbaik budaya berpasukan yang dipupuk dalam masyarakat sekali gus perlu dihidupkan semula di kalangan rakyat Terengganu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata, gasing bukan sahaja satu permainan tradisi masyakat Melayu tetapi mengandungi unsur pendidikan.

Katanya, permainan gasing bukan sekadar sukan semata-mata bahkan ia juga suatu pendidikan yang boleh dipelajari dari dalam kehidupan seharian.

“Permainan gasing juga adalah satu sukan yang mampu mendidik diri kita menjadi insan yang berguna.


“Sebagaimana kita bersungguh dalam menjayakan aktiviti gasing ini, macam mana kita nak capai kejayaan secara berpasukan begitu juga tanggungjawab kita ini sebagai muslim.

"Ada nilai luhur dalam permainan tradisional ini. Misalnya kejujuran, kebersamaan, kesederhanaan, sportif dan taat aturan. Jika permainan ini punah maka nilai luhur itu pun hilang. Makanya saya ingin agar nilai tersebut tetap ada dalam masyarakat kita," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Hadiah kepada pemenang Kejohanan Gasing Tradisional Peringkat DUN Tepoh di Gelanggang Gasing Kedai Tepoh di sini 12 Oktober lalu.

Hishamuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh berkata, sebagai individu muslim seseorang itu tidak boleh lari dari hidup berjemaah.


“Kalau kita mahu berjaya sebagai seorang muslim, hendaklah berjemaah, maka antaranya kita syorkan tiga bulan kita dalam pertandingan gasing ini, kita tumpukan balik menghidupkan masjid menghidupkan surau, menghidupkan majlis-majlis ilmu biar diri kita ada satu motivasi yang tinggi yang kita belajar daripada gasing ini,” jelasnya.

Sementara itu, pasukan dari Kampung Bukit Berangan berjaya mengekalkan kejuaraan kali ketiga berturut-turut menewaskan pasukan Kampung Lerek dengan menggondol hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.

Pasukan Kampung Lerek di tempat kedua dengan membawa pulang hadiah wang tunai M2,000 manakala  Kampung Bukit Nenasi tempat ketiga dengan memenangi hadiah wang tunai RM1,500.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: