Sunday, 6 October 2019

Sahabat Care Dungun Bantu Tujuh Beradik Yatim Piatu

SHARE

Oleh :Mohd Asraf Ikhwan Azahar

DUNGUN- Badan Bukan Kerajaan (NGO) Sahabat Care Dungun melancarkan derma kilat kepada keluarga mangsa kemalangan maut di Jalan Felda Kertih pada 4 Oktober lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun (DPPKD), Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, NGO berkenaan yang berada di bawah seliaan Lajnah Kebajikan (DPPKD) membuka peluang kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa.

"Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun (DPPKD) merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut itu.

“Dimana mangsa telah meninggalkan tujuh orang anak (menjadi) yatim piatu sekelip mata.

"Dengan sumbangan daripada semua pihak maka dapat meringankan bebanan yang dihadapi oleh tujuh beradik bagi meneruskan kehidupan dan juga persekolahan," ujarnya ketika dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Beliau turut mendoakan agar mangsa diampunkan dosa serta dimasukkan ke dalam syurga.

"Kami warga DPPKD mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Lajnah Kebajikan, Muhamad Farhan Yaacob yang mengetuai rombongan menghantar sumbangan dan bantuan tersebut ke rumah datuk mangsa di Pasir Raja turut mezahirkan ucapan terima kasih kepada semua penderma dan penyumbang.

“Harapnya, agar semua ahli keluarga mangsa dan juga tujuh orang anak mangsa tabah menhadapi saat duka diatas kehilangan ibu bapa yang tersayang,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri maut selepas kenderaan Proton Wira Aeroback yang dipandu mangsa bertembung dengan Perodua Alza di Ketengah Jaya menyebabkan tujuh beradik menjadi yatim piatu sekelip mata.

Pemandu kereta, Kamal Hisham Mustaffa, 35, dan isterinya, Norhapisah Idris, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 11.15 pagi pada hari kejadian.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: