Tuesday, 1 October 2019

Sabut Kelapa Jadi Sumber Rezeki

SHARE

Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 1 Oktober- Sabut dari buah kelapa selepas dikupas lazimnya dibuang begitu sahaja, namun bagi anak muda Rantau Panjang disini, Norizwan Razilah, ia menjadi sumber rezeki yang membawa pulangan lumayan.

Berbekalkan kepercayaan sebatang pokok kelapa mempunyai pelbagai manfaat, Norizwan yakin sabut kelapa mampu mengubah kehidupannya ke arah yang lebih baik apabila membuat keputusan untuk terlibat didalam pemprosesan bahan buangan itu bagi kegunaan tanaman Fertigasi.

Menurut Norizwan, dia mendapat bantuan dan bimbingan daripada Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, melalui Program Agropreneur Muda.

"Dimana kertas kerja saya diterima dan mendapat suntikan modal sebanyak RM 16,000. Dengan peruntukkan sebanyak itu saya mendapatkan mesin 'cocopeat' yang memproses sabut menjadi hampas.

"Hampas yang halus itulah digunakan dalam pertanian fertigasi yang berfungsi mengantikan tanah dan mendapat permintaan yang tinggi dari penduduk disini kerana rata-ratanya terlibat dengan pertanian berkenaan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika dikunjungi Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri, Ghazali Sulaiman dipremis miliknya, semalam.


Katanya, jualan seguni hampas kelapa dijual dengan harga RM8 dan amat berbaloi kerana mendapat sumber sabut berkenaan dengan harga yang murah.

"Kerana sabut ini jarang digunakan dan biasanya dibuang sahaja, jadi pembekal menolak kepada saya RM80 satu lori, dan RM 100 dibelanjakan bagi penghantar sabut berkenaan," ujarnya.

Dengan sabut berkenaan, berpandukan 'facebook' beliau mendapat maklumat bahawa serat yang terhasil selepas pemprosesan sabut juga boleh dimanfaatkan.

"Di Indonesia ianya begitu popular digunakan untuk dijadikan kerusi kereta, dijadikan penyapu, topi, kraftangan dan sebagainya.

"Saya bercadang mengusahakannya dimasa akan datang, untuk waktu ini saya perlu kumpulkan dahulu ilmu-ilmu dan pengetahuan tentang perkara berkenaan," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berharap agar anak-anak muda di sini menjadikan mereka yang berjaya dalam sesuatu perniagaan yang diceburi sebagai idola.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: