Friday, 25 October 2019

HPU Terengganu : Ribuan Dijangka Hadiri HPU Malam Ini

SHARE
Para petugas bertungkus lumus membuat persiapan menjelang program Himpunan Perpaduan Ummah (HPU) pada malam ini.
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Himpunan Perpaduan Ummah (HPU) peringkat negeri Terengganu yang akan berlangsung pada malam ini dijangka dihadiri oleh ribuan ahli dan penyokong kedua-dua parti PAS dan Umno.

Promosi program tersebut telah dilancarkan sejak sebulan yang lalu memaparkan  pelbagai iklan berbentuk informatif disajikan di media maya.

Seruan kepada orang ramai agar bersama-sama menyertai himpunan itu datang daripada pemimpin PAS dan Umno.

Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, umat Melayu Islam diseru hadir kerana ia adalah usaha memperkukuhkan kesatuan umat Islam.


“Bagi menyatukan umat Islam menghadapi cabaran masa kini kerana kita membawa slogan Islam memimpin orang Melayu yang beragama Islam.

“Hubungan Melayu dan Islam sangat kukuh sehingga disebut Melayu itu Islam, Islam itu Melayu,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Husain Awang berkata, rakyat negeri Terengganu perlu mengambil peluang untuk menghadiri program tersebut yang dihadiri oleh pemimpin tertinggi parti PAS dan Umno.

“Semoga dengan himpunan ini akan menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan penyatuan  kita dalam masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, pemimpin kanan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Timbalan Pesuruhjaya 1, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Timbalan Pesuruhjaya 2, Dr Alias Razak, Setiausaha, Haji Muhyiddin Ab Rashid dan Ketua Penerangan Wan Sukairi Wan Abdullah turut membuat seruan yang sama.


Sehubungan itu, Pengerusi Pehubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said menggesa ahli-ahli Umno turun beramai-ramai bagi mendengar pidato para pemimpin dalam ikatan Muafakat Nasional.

“Sama-sama kita menghadiri majlis tersebut  untuk mendengar pandangan-pandangan mereka  tentang perlunya  perpaduan di kalangan umat Islam negara ini demi mengembalikan kuasa politik orang Islam,” ujar beliau.

Perkembangan terkini berkait Himpunan Perpaduan Ummah peringkat negeri Terengganu dapat diakses dengan melayari laman sosial, HPU 1025.

Manakala siaran langsung program mega itu  akan dapat ditonton melalui laman sosial Presiden PAS, Rangkaian Webtv PAS dan laman sosial PAS Pusat serta Umno Online.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: