Thursday, 31 October 2019

RedONE Taja Terengganu FC Musim 2020

SHARE
Hishamuddin (tengah) menyaksikan Majlis Perjanjian Tajaan.

KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Syarikat telekomunikasi, RedONE Network kini sah menjadi penaja utama pasukan Terengganu Football Club (TFC) bermula musim baru iaitu Disember tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif RedONE, Farid Yunus memaklumkan, tajaan berkenaan adalah yang terbesar sepanjang penglibatan pihaknya dalam industri tersebut.

Jelasnya, selain penajaan berbentuk wang tunai, pihak RedONE juga akan melaksanakan skim keusahawanan sebagai inisiatif untuk mengembangkan pasaran syarikat telekomunikasi tersebut di negeri Terengganu.

“Langkah ini merupakan kali pertama dilakukan bagi memastikan kejayaan dapat dicapai di dalam dan luar padang. Sebelum ini RedONE pernah menaja pasukan lain, namun usahasama bersama TFC adalah yang terbesar pernah kami taja.

“Pelbagai program akan dibuat dan sebagai rakan penaja, kami juga sudah pasti mahu mencipta kejayaan bersama TFC,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memeterai perjanjian penajaan bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk musim 2020 di Bilik Mesyuarat PBSNT, Wisma Seri Amar, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Pemasaran RedONE, Ben Teh, serta Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, PBSNT juga sedang giat mengatur langkah bagi memperkemaskan pasukan dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

“Kami sedang berunding dengan beberapa pihak lagi untuk mendapatkan tajaan dan semoga ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Kehadiran RedONE ini sebagai rakan penaja pastinya akan menghangatkan lagi sokongan peminat terhadap pasukan TFC,” tambah beliau.

Untuk rekod, RedONE pernah menaja pasukan bola sepak Kelantan selain turut aktif menaja dalam sukan-sukan lain seperti Skuasy.
 

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: