Tuesday, 1 October 2019

Realisasi Taman Geo Tasik Kenyir, Buka Limpahan Ekonomi Hulu Terengganu

SHARE
Tasik Kenyir kaya dengan keindahan semulajadi yang perlu dipertahankan.

KUALA TERENGGANU, 29 September- Usaha mewujudkan Taman Geo (Geopark) Tasik Kenyir akan membuka limpahan ekonomi bagi masyarakat Hulu Terengganu terutama yang tinggal di sekitarnya.

Menurut Pengerusi Program Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Hazman Samsudin, ia berikutan lonjakan eko-pelancongan yang semakin mendapat perhatian di seluruh dunia.
Gua Bewah memiliki sumber arkeologi bernilai tinggi kepada penyelidikan negara.

“Kawasan Hulu Terengganu terutama yang berhampiran tasik berkenaan merupakan kawasan kawalan kerana ia merupakan kawasan perlindungan sumber air dan lokasi penjanaan elektrik. Di sana, ruang untuk mewujudkan pembangunan adalah terhad, secara tidak langsung turut menghadkan peluang penduduk sekitar menjana peningkatan taraf hidup.

“Tetapi, melalui pengesahan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo mampu mewujudkan peluang untuk menjana pendapatan penduduk sekitar,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Santuari gajah turut melengkapi konsep Taman Geo.

Beliau menegaskan, identiti Taman Geo membolehkan Tasik Kenyir dipromosi secara meluas oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Perkara ini akan meningkatkan keyakinan pelancong daripada luar negara selain membina persepsi yang lebih baik tentang negeri Terengganu.

“Paling penting, pengesahan sebagai Taman Geo tidak akan mengganggu aktiviti ekonomi dan sosial yang belangsung di kawasan tersebut,” jelasnya.
Santuari Kelah memaparkan ekosistem Tasik Kenyir yang masih terjaga. 

Dr. Hazman bagaimanapun, mengingatkan bahawa pelaksanaan ke arah Taman Geo harus disertai dengan program pendidikan untuk mempersiapkan komuniti tempatan.

“Kerajaan negeri perlu melatih komuniti tempatan untuk membangunkan perkhidmatan selaras permintaan yang akan melonjak.

“Kita tidak mahu orang luar yang akhirnya datang mengambil kesempatan apabila peluang itu tidak didedahkan kepada penduduk tempatan dan menggagalkan matlamat yang diimpikan,” katanya.

Rumah bot antara kemudahan yang telah melengkapi Tasik Kenyir untuk pembangunan Taman Geo.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: