Thursday, 17 October 2019

Rapat Jurang Pembangunan Antara Negeri

SHARE
Ahmad Amzad.
Oleh: Ammar Rozlan

KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berharap Kerajaan Persekutuan menunjukkan iltizam yang jelas dalam mengurangkan jurang pembangunan antara negeri-negeri yang ketinggalan seperti Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Lebih-lebih lagi, keempat empat negeri tersebut merupakan negeri pengeluar petroleum yang berhak kepada bayaran royalti atau dikenali Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang sebelum ini turut dijadikan bahan manifesto oleh Pakatan Harapan.

“Secara dasarnya, rakyat dijanjikan secara bertulis dalam dokumen manifesto PH kenaikan 20 peratus Royalti Petroleum,” katanya ketika dihubungi pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas isu agihan royalti kepada negeri-negeri terlibat, Amzad berkata langkah paling segera yang sepatutnya dilakukan adalah membayar komitmen pembayaran royalti petroleum yang sememangnya menjadi kewajipan persekutuan.

Tegasnya, ia bukan satu pembayaran yang memerlukan akta rang undang-undang perbekalan baru serta merumitkan yang perlu dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Ia perjanjian yang sudah ada. Cuma perlu dipatuhi dan dilaksanakan sahaja.”

“Kerajaan baru sahaja melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dengan janji pengagihan saksama pembangunan negara. Tetapi, belanjawan baru-baru ini masih tidak menonjolkan impak tinggi yang boleh merapatkan jurang pembangunan,” katanya.

Beliau bagaimanapun, berterima kasih atas peruntukan untuk pembinaan sebuah sekolah di Marang dan klinik kesihatan di Setiu.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: