Tuesday, 15 October 2019

Rakyat Terengganu Diseru Budayakan Sukan - Wan Sukairi

SHARE
Ustaz Wan Sukairi (kiri) bersama Steven Sim (dua dari kanan) di Pentas Kompleks Sukan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Cawangan Terengganu Kampus Dungun hari ini.
DUNGUN, 15 Oktober - Kerajaan negeri menyeru rakyat Terengganu mengamalkan budaya bersukan demi kesihatan, kecergasan dan perpaduan di kalangan masyarakat seiring dengan prinsip Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, menjadi hasrat dan harapan kerajaan untuk melahirkan rakyat yang sihat, cergas dan berbudaya sukan.

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha dan menyediakan peruntukan yang besar dalam memastikan Terengganu menjadi negeri yang maju dalam bidang sukan.

"Kerajaan juga sentiasa memberi ruang dan peluang kepada rakyat untuk melibatkan diri dalam sukan, baik sukan berprestasi tinggi mahupun sukan massa atau sukan yang berbentuk kecergasan dan rekreasi," jelasnya.

Pelajar UiTM bersama Steven Sim dan Ustaz Wan Sukairi selepas Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu 2019 di Kompleks Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu Kampus Dungun hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu 2019 di Kompleks Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu Kampus Dungun di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Steven Sim Chee Keong, Rektor UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun, Prof Madya TS Dr Mazidah Puteh dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandi Ismail.

Menurut Ustaz Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, pasukan Terengganu juga sentiasa dicemburui oleh pasukan lawan dalam sukan seperti bola sepak, hoki, sukan berbasikal dan lain-lain.

"Ini menunjukkan bahawa kita adalah merupakan kuasa besar sukan di negara pada abad ini," jelas beliau.

Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah

Katanya, negeri Terengganu telah terbukti melahirkan atlet-atlet sukan yang berjaya dan berbakat besar sehingga ada di antara mereka bertaraf dunia seperti Azizulhasni Awang (atlet basikal trek negara) yang juga anak jati Daerah Dungun.

Beliau menambah, pada edisi Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak yang lalu, negeri Terengganu berjaya menjadi juara keseluruhan sukan tersebut dengan pencapaian yang sangat membanggakan.

"In Sya Allah pencapaian yang cemerlang ini akan diteruskan dan diulangi pada tahun hadapan (2020) di negeri Johor," ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: