Tuesday, 29 October 2019

Polis Terengganu Siap Sedia Hadapi Banjir

SHARE
Aidi (tengah) menyaksikan penyerahan tugas Ketua Polis Daerah Setiu daripada Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris (kiri) kepada Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Superintendan Burhanuddin Mustafa (kanan) dalam Majlis Serah Terima Tugas di IPD Setiu semalam



Oleh : Sinar Harian

SETIU, 29 Oktober - Seramai 710 pegawai dan anggota polis Terengganu akan digerakkan bagi kerja-kerja menyelamat dan kawalan jika berlaku sebarang bencana di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, jumlah itu termasuk antara 2,807 petugas keselamatan daripada pelbagai agensi keselamatan lain yang dilatih untuk menghadapi kemungkinan khususnya banjir di semua daerah di Terengganu.

Menurut Aidi, pegawai dan anggota di semua daerah di sini sudah menjalankan beberapa latihan berkaitan banjir sebagai persiapan menghadapi banjir sejak Jun lalu.

"Hari ini, kami sudah bersedia sepenuhnya. Semua pusat gerakan bantuan banjir di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) terlibat akan dibuka bila-bila masa sahaja sekiranya berlaku banjir," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Setiu dan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Daerah Setiu di IPD Setiu, di sini.

Mengulas lanjut beliau berkata, buat masa ini pihaknya tidak mengeluarkan arahan pembekuan cuti kepada pegawai dan anggota kerana menyifatkan belum ada keperluan ke arah itu.

"Sebagai persediaan awal, kami mengehadkan hanya 10 peratus sahaja dibenarkan mengambil cuti dalam satu masa," katanya.

Sementara itu Aidi berkata, dari segi kekuatan aset pula, sebanyak 1,183 aset dan logistik seperti bot juga telah siap diperiksa untuk kegunaan menyelamat semasa bencana tersebut.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 92 buah terdiri daripada bot dan enjin, 527 jaket keselamatan, 38 buah lori, 270 buah kereta peronda, 35 buah pacuan empat roda dan pelbagai kenderaan lain," katanya.

Aidi turut menasihatkan penduduk terlibat dengan kawasan banjir mematuhi arahan pihak berkuasa untuk segera berpindah ke pusat pemindahan berhampiran yang disediakan di semua daerah.

"Jika rekod sebelum ini, kita dapati ada segelintir mangsa banjir enggan berpindah dan disebabkan itulah boleh menimbulkan kesukaran kepada anggota penyelamat bertugas menjalankan kerja-kerja menyelamat.

"Kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil juga dinasihatkan agar lebih berwaspada mengawasi pergerakan anak mereka supaya tidak bermain di kawasan berbahaya seperti sungai, parit tali air dan sebagainya bagi mengelak risiko menjadi mangsa lemas," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: