Sunday, 13 October 2019

Peruntukan RM90 Juta Tangani Hakisan Pantai Pengkalan Maras - MB Terengganu

SHARE
Ahmad Samsuri melihat tapak hakisan pantai.

SETIU, 12 Oktober - Peruntukan sebanyak RM90 juta disalurkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu bagi menangani masalah hakisan pantai yang berlaku di Pantai Pengkalan Maras, di sini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hakisan sepanjang 500 meter yang bermula dari Mengabang Telipot akan bertambah teruk jika tidak ditangani segera.

Jelasnya, langkah awal sedang diambil oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu termasuk pengeluaran surat tawaran kerja untuk penambakan pasir pantai (beach nourishment).

“Akhir bulan ini kita jangkakan kerja pembaikan akan dimulakan, pasukan kejuruteraan pantai JPS akan mengkaji dan melakukan langkah yang paling sesuai antaranya seperti pembinaan struktur lapis lindung batu (rock revelment), pemecah ombak (breakwater) dan T-groin untuk menghalang hakisan daripada terus merebak.

“Jika difikirkan jalan mudah, sudah tentu kita hanya meletakkan batu tetapi kesannya kita akan hilang kawasan pantai, jadi kita akan cuba gunakan kaedah-kaedah lain bagi menghalang hakisan dan mengekalkan kawasan pantai,” katanya pada pemberita 
selepas melakukan lawatan ke tapak hakisan tersebut di sini hari ini.

Katanya, kerja pembaikan akan dilakukan secara berperingkat dan teliti bagi mengelakkan timbulnya masalah lain.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd kadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Shafizi Ismail dan pegawai-pegawai JPS.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kelantan adalah contoh terdekat kawasan yang dilanda hakisan pantai dan berjaya dikawal dengan menggunakan teknik ‘groin’ sekali gus mampu mengekalkan keaslian PCB.

“Jadi di sini kita akan lihat setiap elemen dan faktor, gelombang ombak, keadaan tanah dan angin adalah perkara yang diteliti perunding sebelum kerja-kerja dijalankan,” katanya.


Menurut beliau, di Terengganu terdapat banyak tempat yang mengalami hakisan pantai seperti di Besut, Dungun dan Kemaman, namun pihaknya akan menyelesaikan secara berperingkat serta mengutamakan kawasan kritikal.

“Untuk mengawal perkara ini daripada berlaku, ia memerlukan bajet yang besar dan ini berada di bawah tanggungjawab kerajaan pusat, jadi kita sentiasa berunding dengan pihak sana termasuk dana ini (RM90 juta),” jelasnya.






SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: