Saturday, 12 October 2019

Perubahan Tumpuan Pada Belanjawan 2020 - Amzad

SHARE
Ahmad Amzad Hashim.
Oleh : Ammar Rozlan

KUALA LUMPUR, 12 Oktober - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berpendapat bahawa Belanjawan 2020 yang dibentangkan di parlimen, semalam ada perubahan melibatkan pertambahan bajet.

Perubahan itu jelas ditunjukkan melalui bajet untuk pertanian meningkat RM500 juta, bantuan bagi nelayan di musim tengkujuh serta pelbagai insentif untuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan peneroka meliputi jaringan jalan raya.

"Penekanan peruntukan (dilihat) menunjukkan kerajaan cuba mengambil perhatian Sabah dan Sarawak melalui pelbagai dana besar yang khusus.

"Mungkin untuk hadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak dan sebagai mengurangkan tekanan Sarawak dan Sabah (dalam) isu kesaksamaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63)," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi parlimen selepas sesi pembentangan Belanjawan 2020, semalam.

Namun begitu, menurutnya peruntukan tersebut masih kecil berbanding apa yang telah dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak melalui nilai 20 peratus royalti petroleum.
Selain itu katanya, peruntukan bagi sektor pendidikan juga telah bertambah.

Bagi pengurangan 18 peratus bagi tol Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS) dan pengambilalihan beberapa konsesi tol dengan memperkenalkan caj kesesakan pula, tegas Amzad ia memerlukan kepada penelitian terperinci.

"Secara umum ia mengurangkan kos tol untuk rakyat. Kerajaan (juga) menyebut setiap konsesi yang tamat tempoh tidak akan disambung lagi," jelasnya.

Tempelaknya, tindakan kerajaan untuk melupuskan pegangan Khazanah dalam PLUS dengan penjualan kepada pihak swasta adalah tidak sepatutnya berlaku.

"Pada masa yang sama beli lebuh raya milik GAMUDA (LITRAK, LDP, SPRINT dan SMART), tujuan pembelian untuk membantu GAMUDA buat projek di Penang yang kontroversi," jelasnya.

Dari segi peruntukan dalam bajet Pertahanan dan Keselamatan Dalam Negeri pula, beliau berpendapat fokus tidak seharusnya tertumpu mengenai isu keselamatan perairan Sabah dan Sarawak sahaja beserta Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

"Tetapi penambahan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk kawalan perairan dari pencerobohan nelayan Vietnam mesti dimasukkan," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: