Sunday, 13 October 2019

Perlu Pelajari Ilmu Urus Jenazah

SHARE


Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN, 13 Oktober – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Wan Hapandi Wan Nik menyeru anggota masyarakat khususnya anak muda mempelajari cara pengurusan jenazah.

Katanya, walaupun pengurusan jenazah hukumnya fardu kifayah, orang ramai perlu mengambil tahu dan mempelajarinya seperti bidang lain kerana kematian ialah hakikat yang pasti berlaku.

“Sekiranya berlaku kematian, terutama dalam ahli keluarga, kita perlu tahu tindakan pertama yang perlu dilakukan kepada si mati.

“Ilmu ini sering kali dipandang remeh oleh sebahagian masyarakat hingga apabila berlaku kematian dalam kalangan ahli keluarga menyebabkan mereka tidak tahu untuk menguruskan jenazah tersebut,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Penutup Kursus Pengurusan Jenazah yang dianjurkan Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Padang Jambu di sekolah tersebut, baru-baru ini.


Wan Hapandi berpendapat, seeloknya setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga yang tahu cara menguruskan jenazah.

“Lebih afdal dalam Islam, anak mengendalikan pengurusan jenazah sehingga selesai untuk mengelakkan aib ibu bapa terdedah.

“Pengurusan jenazah ini sebenarnya mudah dilakukan, tetapi dianggap sukar apabila tidak mempelajari,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: