Thursday, 3 October 2019

PERKESO Perluaskan Perlindungan Sosial Melalui Tiga Inisiatif Baharu

SHARE


 Oleh ; Mustaqim Afandi

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah mengambil tiga inisiatif baharu bagi memperluaskan perlindungan terhadap risiko yang dihadapi para pekerja di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, agensi Kerajaan di bawah Kementerian Buruh itu menambahbaikkan Akta dan mempelbagaikan Skim-skim Perlindungan Sosial kepada rakyat.

"Pertama, Skim Pekerjaan Sendiri yang melindungi Pemandu Teksi, Grab dan Pemandu Bas Sekolah melalui Skim Bencana Pekerjaan.

"Kedua, Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang mula diperkenalkan pada tahun 2017 yang lalu, memberi manfaat kepada pekerja-pekerja yang kehilangan pekerjaan.

"Ketiga, Skuad PERKESO Prihatin yang ditubuhkan di seluruh negara sentiasa memberi bantuan segera kepada pencarum atau waris pencarum," jelasnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian ketika merasmikan Program Sambutan Hari Perkeso  2019 di Wisma PERKESO negeri Terengganu pada Selasa, 1 Oktober.

Menurutnya, di Terengganu, Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Skuad Prihatin bagi memastikan kebajikan mangsa atau keluarganya dapat disalurkan dengan segera.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada jabatan-jabatan yang bekerjasama dengan Skuad Prihatin dengan menyalurkan maklumat segera.

“Jabatan yang dimaksudkan adalah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat  dan pihak media negeri ini. Kerjasama diantara Skuad Prihatin dengan pemimpin masyarakat negeri ini juga harus diberi pujian,” ujarnya.


Justeru itu, beliau mengingatkan kepada orang ramai agar menjaga keselamatan dan kesihatan semasa waktu bekerja ataupun ketika di jalan raya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: