Thursday, 3 October 2019

PERKESO Bantu Keluarga Mangsa Kemalangan Maut

SHARE


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 3 Oktober – "Saya selalu terbayangkan suami, ke mana-mana pergi ternampak dan terasa seperti suami masih memanggil dan menyebut nama saya,” kata Nor Afikah Akmal, 28, yang kehilangan suami selepas terbabit kemalangan, baru-baru ini.

Nor Afikah yang kini sedang sarat hamil ditemui selepas menerima faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 daripada PERKESO di kediaman mertuanya, di Kampung Pancur Jerangau, semalam.

Menurut Nor Afikah, suaminya Zulkifli Othman, maut dalam kemalangan akibat dirempuh kereta sebaik pulang dari tempat kerja di tempat penimbang kelapa sawit Bukit Besi pada 30 september lalu.

Sumbangan faedah disampaikan Pengurus Pejabat Perkeso Dungun, Nor Afizah Aziz.

 Turut hadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.

Ibu kepada dua anak itu  turut berterima kasih kepada PERKESO kerana sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban yang terpaksa ditanggung selepas kehilangan suami.

“Detik kebahagiaan melahirkan anak ketiga belum sempat dikongsi bersama suami sedangkan dia begitu gembira untuk menyambut kelahiran anak ketiga ini.

“Seperti yang diceritakan rakan suami, dia asyik meminta gajinya daripada majikan agar dipercepatkan kerana ingin membuat persiapan awal termasuk membeli belah segala barang keperluan bayi dan ingin membawa saya ke hospital swasta untuk 'scan' bayi, dan sedihnya ketika pulang dari tempat kerja suami maut di lokasi kemalangan," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi berkata, kunjungan daripada PERKESO, telah melayakkan arwah mendapat pampasan sebanyak RM 2,000 bagi pengurusan jenazah.

"Manakala bagi pampasan bencana kerja masih didalam siasatan, kita berharap agar PERKESO memudahkan urusan mendapat pampasan yang setimpal setelah aktif mencarum.

"Saya turut mendoakan agar Nor Afikah diberi kekuatan dan diberi ketenangan dan kesabaran, memang hakikat ini berat untuk diterima ini,” ujarnya.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: