Wednesday, 16 October 2019

Penganjur Debat Kontroversi Perlu Disiasat!- Amzad

SHARE


 
Ahmad Amzad.
Oleh : Ammar Rozlan

KUALA TERENGGANU, 16 Oktober -Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menzahirkan kebimbangan berkenaan isu acara debat Piala Tun Razak 2019 yang mengemukakan tajuk berkaitan ‘Al-Quran perlu ditulis semula dengan membuang bahagian yang berisiko dimanipulasi pemikir radikal’ dan ‘Islam tidak Menghalang Homoseksual’.

Menurutnya, ia sesuatu yang menggusarkan lebih-lebih lagi acara debat itu melibatkan pelajar-pelajar sekolah berasrama penuh (SBP) yang berumur dalam lingkungan 13 – 15 tahun.

“Penganjur perlu disiasat sama ada mereka benar-benar jahil terhadap kebenaran Islam yang tidak boleh didebatkan atau sebenarnya mahu menyebarkan agenda tertentu.

“Sekalipun mereka telah memohon maaf, tindakan tetap wajar diambil bagi menghalang sebarang unsur yang menggugat keharmonian dan keselamatan negara dibiarkan menyerap masuk dalam masyarakat,” tulisnya dalam kenyataan di laman Facebook beliau, hari ini.

Jelasnya, kelayakan ketua hakim dalam pertandingan tersebut juga boleh dipertikaikan. Adakah beliau melepasi standard yang selayaknya? Jika ya, bagaimana tajuk yang tidak sesuai dengan nilai agama Islam ini boleh diluluskan,” katanya.

Tambahnya lagi, meneruskan perdebatan tanpa kerangka ilmu Islam yang benar hanya akan menyelewengkan akidah diri dan pendengar semata-mata untuk kemenangan.

Terdahulu, penganjur dalam kenyataannya telah mempertahankan bahawa tajuk itu bersifat hipotetikal dan yakin bahawa anak-anak pendebat boleh berdebat dengan baik tanpa perlu risau tajuk itu akan menjejaskan akidah mereka.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: