Tuesday, 1 October 2019

Penerima Kad Sejahtera Lahir Rasa Syukur

SHARE


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 1 Oktober- Rata-rata penerima bantuan subsidi rawatan kesihatan asas menerusi program Kad Sejahtera di negeri ini bersyu­kur dengan bantuan itu kerana dapat mengurangkan bebanan kewangan mereka untuk mendapatkan rawatan kesihatan di klinik swasta terpilih.

Seorang penerima, Wan Zarini Wan Din, 44, memberitahu, sedikit sebanyak bantuan itu mampu menampung perbelanjaan perubatan suaminya yang menderita sakit saraf.

Menurut Wan Zarani, dengan pendapatan RM 20 sehari dia tidak mampu untuk membiayai sepenuhnya perbelanjaan perubatan suami, Mohd Din Jusoh, bagi mendapatkan ubat saraf dan menanggung anak ke sekolah.

"Suami saya terlibat dalam kemalangan pada tahun 2015 dan tidak lagi mampu bekerja sebagai juruelektrik dan disebabkan kemalangan itu juga membuatkannya lupa ingatan.

"Jadi dengan bantuan Kad Sejahtera ini dapatlah digunakan bagi memastikan bekalan ubat saraf suami tidak terputus kerana ubat itu mahal," ujarnya kepada pemberita di Majlis Penyerahan Kad Sejahtera yang disempurnakan oleh Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, hari ini.

Katanya, lebih mendukacitakan apabila dia dimaklumkan bantuan bulanan sebanyak RM200 yang diterima suaminya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini akan dihentikan berakhir bulan ini.

Sehubungan itu, Ghazali berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib yang dialami Wan Zarini.

"Kita telah mendengar segalanya, dan insya-Allah kita akan cuba merujuk kepada pihak JKM dan rasanya Wan Zarini hanya perlu mengemaskini permohonan sahaja.

"Bukan senang nak melalui perjalanan hidup dengan keadaan yang dialami olehnya, namun kita berharap agar dirinya terus tabah menerima ujian daripada Allah S.W.T,” ujarnya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: