Sunday, 6 October 2019

Penerbangan Terus Malaysia-Pakistan Mulai Bulan Ini

SHARE


Delegasi Ahli Parlimen Malaysia dalam satu majlis di Islamabad, Pakistan.
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Pakistan dan Malaysia bersetuju untuk menerima penerbangan terus Pakistan Air dan Malaysian Airline System (MAS) dua kali seminggu mulai bulan ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Amzad Hashim berkata, sebelum ini penerbangan antara kedua-dua negara tersebut tidak dibuat secara terus tetapi menjadikan Dubai, Emiriah Arab Bersatu (U.A.E.) sebagai transit sebelum menuju ke destinasi negara masing-masing.

Katanya, dengan adanya penerbangan terus itu,  ia menjimatkan masa dan memudahkan lagi rakyat kedua-kedua negara itu untuk berulang alik melaksanakan urusan masing-masing .

"Penerbangan itu mengambil masa selama 15 jam termasuk dari Kuala Lumpur ke Dubai selama enam jam, transit di Dubai selama lima jam dan dari Dubai ke Islamabad, empat jam.

Kunjungan Delegasi  Ahli Parlimen Malaysia mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Pakistan.
"Begitu juga dengan penerbangan sebaliknya dan ia banyak membuang masa," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya, mengulas hasil lawatan lima orang Ahli Parlimen Malaysia ke Islamabad Pakistan mulai 30 September hingga 4 Oktober lalu.

Terdahulu, satu delegasi Parlimen Malaysia diketuai oleh Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Ariff telah mengadakan kunjungan rasmi ke Islamabad Pakistan.

Delegasi itu termasuk Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Ariff, Timbalan Speaker, Dato’ Mohd Rashid, Ahli Parlimen Batu Pahat, Dato’ Wira Mas Ermiyati, Ahli Parlimen Tanah Merah, Ahli Parlimen Saratok, Dato’ Ali anak Biju dan Ahmad Amzad.
Rombongan Ahli Parlimen Malaysia dalam satu majlis perbincangan di Islamabad, Pakistan.
Menurut Ahmad Amzad, lawatan itu juga bertujuan bagi menyatakan pendirian Malaysia agar isu Jammu dan Kashmir hendaklah diselesaikan secara aman dan diplomasi. Semua pihak perlu patuh ketetapan dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Perbincangan juga berkisar tentang masalah Islamophobia. Pakistan, Turki dan Malaysia telah bersetuju mengadakan siaran televisyen usahasama bagi menyampaikan maklumat yang betul tentang Islam dan dunia Islam," jelasnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: