Sunday, 20 October 2019

Penduduk Terseksa Terpaksa Hidu Bau Busuk

SHARE


Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 20 Oktober- Penduduk Taman Rakyat Jaya, Rantau Abang mendakwa tidak selesa dengan bau tidak menyenangkan yang terpaksa dihidu setiap hari dipercayai berpunca daripada kedegilan peniaga ayam goreng di kawasan berkenaan membuang sisa lemak ayam ke dalam longkang.

Difahamkan, sisa buangan tersebut menyebabkan longkang tersumbat dan menimbulkan bau yang kurang menyenangkan.

Pengerusi Biro Pembangunan Prasarana Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) Taman Rakyat Jaya, Jafri Jaafar berkata, sebelum ini pihaknya sudah berjumpa dan menasihati perniaga terbabit agar menghentikan aktiviti berkenaan tetapi tidak diendahkan.

"Aduan kepada Majlis Perbandaran juga tidak berkesan, sekadar dikenakan kompaun dan peniaga terbabit membayar kemudian mereka buat balik, bukannya menarik balik lesen perniagaan, "ujarnya.


Jafri berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Gotong-Royong Perdana Program Sayangi Komuniti Kumpulan Rukun Tetangga (KRT) Taman Rakyat Jaya, baru-baru ini.

Program gotong-royong yang dianjurkan itu turut mendapat kerjasama Pejabat Perpaduan Daerah Dungun, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) taman perumahan itu dan juga agensi-agensi kerajaan yang lain.


Sementara itu, Pegawai Pejabat Perpaduan  Daerah Dungun, Tengku Mazilawati Tengku Mohamad berkata, isu tersebut telah berlarutan dan berharap bau yang mengugat keselesaan penduduk setempat itu akan dapat diatasi segera.

"Melalui Program Sayangi Komuniti (PSK) di bawah Jabatan Perpaduan, KRT berperanan untuk mengenalpasti permasalahan setempat dengan melibatkan semua agensi kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dimana KRT bertindak sebagai orang tengah.

"Kita akan memantau perkara ini (bau busuk) dan program kita bukan sekadar program semata-mata, ada tindakan susulan yang akan diambil bergantung kepada keadaan," ujarnya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: