Sunday, 6 October 2019

Papisma Terengganu Suntik Semangat Bakal Doktor Pelatih

SHARE

Dr Suhaini (dua dari kiri) melakukan gimik pembedahan sebagai tanda merasmikan majlis penutup.
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) Terengganu terus komited dalam membantu dan menyuntik semangat bakal doktor pelatih untuk menjalani latihan perubatan selama 24 bulan.

Presiden Papisma, Dato’ Dr Suhaini Kadiman berkata, menyedari hakikat kerjaya pegawai perubatan memerlukan komitmen tinggi terutama dalam mengendali dan merawat pesakit, pihaknya bersepakat untuk terus menganjurkan Terengganu House Officer Preparatory Course (HOPE).

Jelasnya, idea untuk meneruskan program buat kali kedua itu juga timbul berikutan percanggahan reaksi masyarakat dengan pakar-pakar di hospital berkenaan kemampuan doktor pelatih mengendalikan sesuatu kes.

“Ibu-bapa kepada doktor pelatih mempunyai pandangan yang agak negatif terhadap latihan perubatan sehingga ada yang mengatakan latihan tersebut adalah teruk dengan adanya kes buli termasuk tidak sempat makan dan minum.

“Berbeza dengan pandangan pakar perubatan di hospital, mereka mengatakan ramai graduan bidang itu tidak bersedia daripada sudut ilmu, mental dan kemahiran untuk dilatih sebagai doktor perubatan,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup program berkenaan, di Paya Bunga Hotel semalam.

Antara aktiviti yang dijalankan semasa program.
Tambah Dr Suhaini, HOPE 2.0 yang disertai seramai 100 graduan perubatan dari institusi dalam dan luar negara itu mendapat sambutan di luar jangkaan.

Namun kata beliau, akibat kekurangan peralatan dan barangan perubatan, pihaknya terpaksa mengehadkan bilangan peserta kepada 100 orang sahaja.

“Kami buka tempoh untuk menyertai program ini agak lama, tetapi selepas kami buka selama tiga hingga empat hari, penyertaan telah penuh dan menyebabkan kami terpaksa tutup awal permohonan ini,” katanya.

Dalam program yang berlangsung selama dua hari itu, para peserta didedahkan dengan pelbagai situasi sebenar dunia perubatan seperti suasana semasa pembedahan dan cara melayan karenah pesakit yang bertujuan meningkatkan kesediaan bakal doktor.


Papisma mula ditubuhkan pada tahun 2004 dengan dianggotai gabungan tenaga-tenaga profesional kesihatan yang antara lain untuk membimbing ahli dan masyarakat dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang sistem penjagaan kesihatan dan perubatan.

Sehingga kini Papisma telah menjalankan pelbagai aktiviti untuk masyarakat dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang penjagaan kesihatan melalui pelbagai kaedah seperti rawatan perubatan percuma, bengkel-bengkel kesihatan, ceramah-ceramah dan pameran. 

Para peserta bersama penganjur yang terlibat.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: