Monday, 21 October 2019

Pantai Seberang Takir Kini Dalam Proses Tambakan

SHARE
 
Pemandangan udara Pantai Seberang Takir selepas Pakej 1 Projek tambakan pantai siap dibina.
KUALA NERUS, 21 Oktober - Keseluruhan Jajaran Pantai Seberang Takir dari Muara Utara Sungai Terengganu ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud sepanjang kira-kira lima kilometer kini dalam proses 'Revetment' (tambakan) bagi mengatasi masalah hakisan pantai ketika musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Putih berkata, untuk itu pihak kontraktor Pakej 1A telah diarahkan agar menyiapkan tambakan sekurang-kurangnya sepanjang 200 meter di bahagian paling kritikal pantai itu sebelum bermula musim tengkujuh tahun ini. 

Katanya, pihak kontraktor akan mengadakan perlindungan sementara dengan meletakkan 'Stockpile' Batu-batu ('Armour Rock') di kawasan-kawasan yang masih belum disiapkan sebagai langkah kecemasan. 

"Pihak kontraktor berada sepenuh masa di tapak projek agar bersedia memberi bantuan pembaikan kecemasan sekiranya perlu semasa musim tengkujuh yang akan datang," jelasnya ketika dihubungi hari ini. 
 
Dr Mamad (tiga dari kanan) bersama Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (empat dari kanan) ketika melawat Pantai Pengkalan Maras Setiu baru-baru ini.

Katanya, untuk tujuan itu tiga projek dilaksanakan termasuk Pakej 1, Pakej 1A dan Pakej 2, bernilai RM45 juta (tidak termasuk Pakej 2) di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi negeri Terengganu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang berkata, pakej 1 melibatkan jalan Jajaran Pantai sepanjang 3.8 kilometer dari Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Muara Utara sehingga Bulatan Teluk Ketapang di sini.

"Kaedah perlindungan pantai dalam Skop Pembinaan Jalan Pakej 1 bagi Jajaran 380 meter jalan kritikal di selatan projek, siap dibina termasuk pembinaan 'Revetment' sepanjang 690 meter dan 'Beach Nourishment' (Penambakan Pasir) sebanyak 430,000 meter padu.

"Manakala kaedah Perlindungan Pantai dalam Skop Pembinaan Jalan Pakej 1A sedang dibina melibatkan pembinaan 'Revetment' sepanjang 740 meter dan "Beach Nourishment' sebanyak 250,000 meter padu.

"Ini termasuk kerja-kerja pemasangan 'Geo Textile' dan kerja-kerja menyusun 'Primary Armour Rock'," jelasnya lagi.

Katanya, sementara Pakej 2 sepanjang 3.2 kilometer daripada Bulatan Teluk Ketapang hingga ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud sedang dimuktamadkan.

Menurutnya, Pakej 1 telah siap dibina pada 10 April lalu dan pihak ECERDC telah menyerahkannya kepada kerajaan negeri pada 30 Mei lalu dan dibuka kepada umum.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: