Wednesday, 9 October 2019

Pejabat Agama Dungun Daerah Pertama Serah Sijil Pelantikan Jawatankuasa Masjid

SHARE

Oleh: Amiirullah Mansor

DUNGUN, 9 Oktober - Pejabat Agama Dungun (PAD) menjadi daerah pertama menjayakan Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan Jawatankuasa Masjid Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, majlis penyerahan sijil tersebut berjalan sempurna kerana institusi masjid diuruskan dengan kerjasama yang bagus dan stabil walaupun terdapat sedikit kekurangan.

"Bahkan secara keseluruhannya Terengganu ini sendiri tidak banyak sangat kes yang terpaksa kita (Kerajaan Terengganu) tawakuh (tangguh) akan tetapi kita cuba proses untuk menyelesaikannya.

 "Dan saya rasa negeri Terengganu juga antara yang terawal menyelesaikan hal Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) tetapi masih ada negeri - negeri lain belum selesai isu ini," katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan Jawatankuasa Masjid Negeri Terengganu Bagi Sesi 2019 - 2022 Peringkat daerah Dungun yang bertempat di Dewan Utama Al - Ghazali, Aras 2 Pejabat Agama Daerah Dungun, semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Pegawai PAD, Zulkefli Othman dan Penolong Pesuruhjaya II Pengurusan Masjid, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Muhammad Ash Shafie Abdul Manan.

Jelasnya lagi, beliau menyeru kepada para pelantikan baru ini menggunakan pendekatan institusi masjid untuk merapatkan saf dan jurang sesama ahli qaryah.

"InsyaAllah dengan pendekatan tersebut, pendidikan dan pentadbiran berjalan dengan baik dan lancar di samping kita dapat menyelesaikan perkara berbangkit,"ujarnya.

Satiful turut menasihatkan agar semua pihak jawatankuasa masjid bekerjasama dalam mengimarahkan dan memakmurkan rumah Allah dengan membuat pengisian ilmiah kepada masyarakat.

"Tahniah dan takziah juga diucapkan kepada pemegang jawantankuasa masjid baru kerana ia bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan jawatan ini tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah serta inilah sebagai pelaburan kita di akhirat kelak," katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: