Tuesday, 15 October 2019

OPP Terengganu Tidak Terlibat LTTE

SHARE
Aidi Ismail.
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Seramai 21 Orang Pengawasan Polis (OPP) di Terengganu dikesan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti dan pergerakan kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Aidi Ismail berkata, pihak Cawangan Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu sentiasa memantau perkembangan kumpulan LTTE. 

Menurutnya, kebanyakan OPP yang majoriti daripada kaum India tidak menyumbang kes jenayah atau terlibat dengan mana-mana isu sehingga mengganggu ketenteraman awam.

“Selepas tahun 2014 iaitu selepas Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dilancarkan, beberapa OPP berbangsa India telah dihantar menjalani hukuman perintah pengawasan di negeri ini.

“Ia termasuk OPP dengan pelbagai kesalahan seperti merusuh, kongsi gelap (Geng 21), samun dan lain-lain kesalahan jenayah harta benda,” jelasnya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, keseluruhan daripada pesalah meneruskan hidup dan bekerja di Terengganu dalam pelbagai sektor untuk menampung kehidupan mereka.

“Ada antara mereka bekerja sebagai pencuci kereta, kedai makan, buruh dan ada juga tidak bekerja. Gaji yang diterima oleh mereka dari RM600 hingga RM900. 

“Bagi OPP yang tidak bekerja, pihak keluarga akan menanggung perbelanjaan mereka,” tambah beliau ketika mengulas tentang pembongkaran LTTE oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay baru-baru ini.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: