Tuesday, 8 October 2019

NGO Terengganu Rumus Jalan Terbaik Bantu Mangsa Perang Yaman

SHARE
Wan Sukairi Wan Abdullah. Foto oleh - Wan Luqman Hakim
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Terengganu akan merumus langkah terbaik bagi membantu rakyat Yaman yang sedang bertarung nyawa untuk hidup ekoran tercetusnya perang saudara di sana.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menegaskan, konflik tidak berkesudahan di bumi Yaman itu mencatatkan rekod krisis kemanusiaan yang terburuk ketika ini.

Jelasnya, jutaan rakyat Yaman kini berhadapan dengan tiga tragedi kerakusan tangan manusia membabitkan konflik bersenjata berat yang dahsyat, kebuluran dan malnutrisi termasuk penularan wabak kolera, difteria dan H1N1.

“Kesengsaraan mereka akan dibincangkan segera dengan membabitkan NGO-NGO yang ada di Malaysia terutamanya Terengganu, kita akan sedaya upaya membantu mereka.

“Langkah pertama akan diambil dalam Kongres Muafakat NGO pada 17 Oktober nanti, dalam program itu kita akan bincang solusi dan kumpulkan dana untuk membantu rakyat (muslim) di sana,” ujarnya.

Wakil dari Yaman menjelaskan situasi terkini yang berlaku di sana.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjung hormat NGO Yaman Care dan wakil dari Yaman di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menurut Wan Sukairi, malapetaka berkenaan telah memangsakan jutaan rakyat negara itu termasuk 11 juta kanak-kanak.

Katanya, keperluan asas harian menjadi sangat terhad berikutan bantuan kemanusiaan yang semakin berkurangan.

“Disebabkan itu, saya menyeru kepada semua NGO dan rakyat Malaysia, khususnya yang berada di Terengganu untuk sama-sama membantu saudara seagama kita di sana,” tambah beliau.

Laporan 'Armed Conflict Location and Event Data Project' (ACLED), sebuah badan kajian konflik perang pada Disember 2018 menyatakan pertempuran yang dicetuskan Saudi itu meragut lebih 60,000 nyawa di Yaman, sejak Januari 2016.


'Save the Children', sebuah badan kebajikan pula melaporkan lebih 84,700 kanak-kanak di bawah umur lima tahun mati kebuluran sejak serangan brutal ke atas Yaman yang sememangnya dikenali sebagai negara miskin.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: