Tuesday, 1 October 2019

Nasib As-Sisi Umpama Telur Di Hujung Tanduk

SHARE
Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Oleh : Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Nasib Presiden Mesir, Abdul Fattah As-Sisi pada hari ini boleh diumpamakan seperti ‘telur di hujung tanduk’ apabila berlaku tunjuk perasaan besar-besaran menuntut perletakan jawatannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkembangan yang tercetus akibat pendedahan korupsi dan salah guna kuasa dalam pentadbirannya menimbulkan pelbagai teori konspirasi dalam kalangan tentera dan rakyat Mesir.

Antaranya kata beliau, tentera Mesir memberi ruang kepada penunjuk perasaan untuk turun ke jalan raya bagi campur tangan untuk menggulingkan As-Sisi

“Gerakan ini berkemungkinan mendapat restu daripada Amerika Syarikat sendiri sebagai tekanan kepada As-Sisi supaya tidak merapatkan hubungannya dengan Rusia.

“Kebiasaan sikap Amerika Syarikat yang hanya melihat kepada kepentingannya sahaja dan selagi mana boleh dipergunakan seperti menjatuhkan Dr Morsi dan menaikkan As-Sisi,” ujarnya dalam kenyataan di ‘Facebok’ rasminya hari ini.

Beliau juga menyatakan politik Mesir  menjadi agak suram kerana Abdul Fattah mengembalikan semula pemerintahan kuku besi seperti zaman-zaman sebelumnya.

“As-Sisi mengembalikan semula zaman kegelapan pemerintahan diktator seperti sebelumnya apabila berpuluh ribu rakyat yang dipenjarakan tanpa perbicaraan yang adil termasuk mantan Presiden Mesir, Dr Mohammad Morsi.

“Kejatuhan As-Sisi akan memberikan impak yang sangat besar kepada Israel yang cukup gusar akan keselamatannya sebagaimana ketika zaman Mohammad Morsi yang dilihat memberi ruang secukupnya kepada Palestin,” katanya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: