Sunday, 6 October 2019

Nasharuddin Mahu Bawa Misi Emas Negara

SHARE
Nasharuddin ketika Festival Ragbi 7S di Seoul, Korea Selatan. Foto peribadi Nasharuddin Ismail. 
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Pemain ragbi kelahiran negeri Terengganu, Muhammad Nasharuddin Ismail, 27, meletakkan harapan untuk bersama-sama rakan sepasukan dalam membawa cabaran skuad Ragbi kebangsaan ke Sukan Asia Tenggara (SEA) di Filipina yang bakal berlangsung November ini.

“Jika ditanya apa harapan saya? Semestinya, saya ingin berada dalam senarai akhir pemain yang akan membawa cabaran Malaysia untuk Sukan SEA nanti. Bukan hanya saya, itu adalah harapan setiap atlet.

“Saya akui, mewakili negara adalah satu tanggungjawab besar kepada individu yang bergelar atlet. Tetapi kebanggaan mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa adalah sesuatu yang tidak ternilai,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.

Anak muda kelahiran Kampung Langgar, Kuala Berang itu menyatakan, dirinya mula terlibat dalam sukan ragbi sejak peringkat sekolah lagi iaitu di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) di Kuala Terengganu.
Antara aksinya ketika bertanding mewakili negara. Foto peribadi Nasharuddin.
“Saya terus aktif dalam sukan ini ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam ijazah kejuruteraan mekanikal dan ditawarkan mewakili negara bermula tahun 2016.

“Sepanjang empat tahun bermain secara profesional, saya telah mewakili Malaysia dalam Sukan Asia di Indonesia (2018) dan Sukan Komanwel Australia (2018),” katanya.

Anak keenam daripada sepuluh orang adik beradik itu ketika ini sedang menjalani latihan di kem kebangsaan dan beliau meletakkan misi untuk membantu negara mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu. 

Berperanan sebagai 'Scrum Half', tugas Nasharuddin mungkin lebih berat jika dilantik mengetuai pasukannya kali ini.
Foto daripada Nasharuddin oleh Fadzil Hisham.
“Kapten pasukan, Zulkiflee Azmi tidak dapat beraksi tahun ini kerana memilih untuk menyertai induksi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang akan diadakan pada waktu yang sama.

“Paling penting, walau siapa pun yang dilantik menggantikannya, tugas berat bakal menanti kami di sana dengan pasukan Thailand, Singapura dan tuan rumah, Filipina pastinya tidak memberikan laluan mudah kepada Malaysia," katanya.

Untuk rekod, ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) lalu, skuad ragbi 7 sebelah negara mencatat sejarah apabila merangkul pingat emas setelah menewaskan Singapura, 22-7 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Skuad ragbi wanita negara juga mencatatkan kejayaan apabila meraih pingat gangsa selepas menumbangkan Filipina, 7-5.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: