Monday, 14 October 2019

Naikkan Kadar Elaun Nelayan Langkah Tepat Kerajaan

SHARE
Ahmad Amzad Hashim (kiri), Rusdi Ngah (tengah) dan pegawainya, Othman melihat seorang pelajar mengulangkaji pelajaran selepas menyampaikan sumbangan 100 meja kepada Madrasah Tahfiz As-Saabiqun. Foto ihsan - Baharom Bakar
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Pengumuman kerajaan menaikkan kadar elaun sara hidup daripada RM200 kepada RM250 sebulan untuk golongan nelayan adalah langkah tepat.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Mohamed menegaskan kenaikan elaun itu dapat membantu kira-kira 32,000 golongan nelayan di seluruh negara mengurangkan masalah kos sara hidup, terutamanya pada musim tengkujuh.

Tegasnya, golongan nelayan bukan sahaja dibelenggu dengan masalah tidak dapat keluar menangkap ikan pada musim tengkujuh, malah berhadapan dengan ancaman nelayan asing.

"Kenaikkan kadar elaun sara hidup seperti diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan belanjawan 2020 Jumaat lalu menunjukan keprihatinan kerajaan kepada golongan berkenaan," katanya selepas menyerahkan sumbangan 100 meja daripada Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (EPIC) bernilai RM10,000 kepada Madrasah Tahfiz As-Saabiquin di Kampung Pulau Musang, di sini semalam.

Turut sama adalah Pengurus Besar, Sumber Manusia dan Pentadbiran Kumpulan EPIC, Rusdi Ngah dan wakil Madrasah Tahfiz As-Saabiqun, Muhamad Hafizuddin Kadir.


Lim ketika membentangkan pembentangan belajawan 2020 Jumaat lalu mengumumkan peruntukan sebanyak RM152 juta untuk elaun sara hidup nelayan.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan EPIC melahirkan rasa terkilan kerana tiada peruntukan disediakan kerajaan untuk pembelian bot laju kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (MARITIM).

Tegasnya, Maritim hanya menggunakan kapal dan bot usang berusia melebihi 30 tahun untuk melakukan rondaan dan membanteras kegiatan nelayan asing di perairan negara ini.

"Saya meneliti penuh buku belanjawan dan mendapati peruntukan hanya diberikan kepada Kementerian Pertahanan sebanyak RM15.6 bilion serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjumlah RM16.9 bilion.

"Berdasarkan pembentangan belanjawan itu, kerajaan banyak memberi tumpuan pembelian kapal dan bot laju untuk agensi penguatkuasa itu di Sabah, termasuk di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone)," jelasnya.

Ahmad Amzad akan mendapatkan maklum balas secara terperenci mengenai masalah dihadapi MARITIM pada persidangan parlimen nanti.

SUMBER: BERITA HARIAN
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: