Tuesday, 15 October 2019

Nafuzi Zain Sah Kemudi Terengganu FC

SHARE
Nafuzi Zain (tengah).
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC I (TFC I) ketika ini, Nafuzi Zain diberi kepercayaan untuk mengemudi skuad itu dalam mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, tugas selaku penolong jurulatih pula akan diisi oleh pengendali skuad Piala Belia Terengganu, Subri Sulong yang turut membantu skuad itu menjulang trofi bawah 19 musim ini.

Ujarnya, keputusan untuk melantik Nafuzi dan Subri adalah dibuat secara bersama serta berdasarkan prestasi semasa mereka dalam mencorakkan serta menguruskan pasukan.

“Inilah cabaran yang ingin kita sambut, walaupun ada yang mengatakan tentang risiko melantik jurulatih (muda) tempatan berbanding melantik tenaga luar.

“Kita percaya bahawa anak-anak tempatan mampu menjadi yang terbaik apabila diberikan peluang, dan daripada sana kita mulakan usaha ini (untuk mengangkat potensi kita sendiri),” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berucap dalam Kongres Tahunan PBSNT 2019 di Hotel Permai, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden I PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim, Timbalan Presiden II PBSNT, Marzuki Sulong dan wakil-wakil persatuan bola sepak daerah.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut mengumumkan ketua jurulatih bagi pasukan TFC II hingga IV yang rata-ratanya anak kelahiran Terengganu.

Bagi jawatan ketua jurulatih TFC II pula, penolong jurulatih TFC II musim ini, Roshadi Wahab dinaikkan sebagai ketua jurulatih.

“Manakala TFC III akan dilatih Badrul Afzan Razali dan Wan Adremy Indera Wan Adnan dilantik selaku jurulatih baharu TFC IV,” tambah beliau.

Untuk rekod, Nafuzi Zain merupakan bekas pemain kebangsaan dan tonggak utama skuad Penyu yang menjulang Piala Malaysia 2001.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: