Thursday, 17 October 2019

Muafakat NGO Negeri Terengganu Usaha Satukan Suara NGO

SHARE


KUALA TERENGGANU, 17 Oktober- Keputusan menubuhkan Muafakat Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu merupakan usaha untuk memperkasakan lagi peranan kerajaan dalam memperjuangkan nasib rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, badan tersebut akan bertindak sebagai platform dalam menghimpunkan seluruh NGO yang berdaftar di negeri ini.

“Hasil resolusi dalam Kongres Muafakat NGO Terengganu yang julung kali diadakan di negeri ini telah bersetuju untuk menubuhkan satu organisasi iaitu Muafakat NGO Negeri Terengganu yang menjadi platform untuk menghimpunkan seluruh NGO yang berdaftar dalam Negeri Terengganu.

“Ianya akan menghimpunkan keseluruhan penaung di bawah kerajaan negeri dan akan melakukan program-program tertentu dan dalam beberapa perkara yang bersifat kebersamaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kongres Muafakat NGO Terengganu 2019 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Yahaya Ali dan Pengarah Urusetia Belia dan Sukan Negeri Terengganu (UBSNT) Nasir Abdul Razak.


Menurut Wan Sukairi, kongres yang diadakan itu akan disusuli dengan persidangan NGO Terengganu sebagai medan mengumpulkan ‘suara’ NGO ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kita sasarkan untuk mengadakan persidangan ini setiap enam bulan ataupun paling tidak setahun sekali yang akan diselaraskan oleh Muafakat NGO Negeri Terengganu, dimana kita akan menjemput wakil-wakil NGO untuk mengutarakan apa yang mereka mahu sampaikan termasuk permasalahan, cadangan dan sebagainya.

“Secara tidak langsung ianya berupaya menjadi medan kepada para NGO mengukuhkan hubungan sesama NGO dan kepimpinan kerajaan negeri sekali gus dapat merangka pelan terbaik pembangunan NGO dan penyertaan seluruh masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, selain memperkasakan pergerakan NGO yang berdaftar di negeri ini, Muafakat NGO Negeri Terengganu turut berperanan sebagai platform menghebahkan dan menyalurkan segala maklumat kepada orang ramai.

Wan Sukairi berkata, dengan penubuhan badan itu diharapkan akan dapat meningkatkan lagi keberkesanan dan keupayaan kerajaan dalam menyelesaikan permasalahan rakyat dengan kerjasama NGO yang bernaung dibawah kerajaan negeri.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: