Friday, 25 October 2019

HPU Terengganu : Muafakat Nasional Pertahan Keluhuran Perlembagaan

SHARE
Dato' Husain Awang
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober – Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO bertujuan  untuk mempertahankan keluhuran Perlembagaan Malaysia yang telah dicabul oleh golongan tertentu di negara ini.

Pesuruhjaya Badan Perhubungan Terengganu, Dato’ Husain Awang berkata, keluhuran perlembagaan telah dicabul dengan cara mencabar kedudukan raja-raja Melayu, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Katanya, Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) Peringat Negeri Terengganu diadakan adalah untuk menterjemahkan tujuan itu sekaligus menterjemahkan Muafakat Nasional yang dimeterai pada 14 September lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan di himpunan tersebut di Stadium Negeri di sini hari ini.

Turut hadir Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Said dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
Dato' Husain (kiri) menghulurkan derma di HPU Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negetri Kuala Terengganu hari ini.

Dato’ Husain ketika mengimbau Muafakat Nasional berkata, apa yang berlaku 14 September lalu ialah piagam muafakat nasional bagi mempastikan berlakunya penyatuan antara PAS dan UMNO.

“Muafakat ini adalah sejarah baharu dalam arena politik negara bahawa bersatunya dua parti terbesar PAS dan UMNO menghimpunkan dua kelompok terbesar umat Islam yang mempunyai titik persamaan dari sudut akidah dan darah keturunan.

“Kedua parti terbesar negara itu berjaya mengadakan pakatan atau taawun siyasi sebagaimana termaktub dalam Piagam Muafakat Nasioanl,” jelasnya.

Katanya, muafakat ini bukan kerjasama yang baharu tetapi PAS dan UMNO pernah bersatu memperjuangkan kemerdekaan negara dan menyelamatkan negara dari ancaman komunis.

Sebagai tuan rumah beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan majlis HPU itu termasuk Jabatan Amal Malayisa dan Skuad Sabil UMNO.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: