Sunday, 6 October 2019

MPKK Perlu Jalin Kerjasama Dengan PTD

SHARE


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 6 Oktober- Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) perlu menjalin hubungan baik dengan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) bagi mencari solusi berkait masalah berbangkit dalam komuniti.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, antara masalah yang sering timbul melibatkan hal berkaitan tanah.

"Maka pertemuan kedua-dua pihak ini sangat penting kerana pihak MPKK dapat merujuk segala masalah dengan segera kepada PTD.

"Kemudian kita juga ingin memastikan setiap MPKK mempunyai pengetahuan yang sewajarnya apabila kenal dengan pihak atasan, maka segala soalan berbangkit dan diutarakan akan terjawab serta segala masalah yang timbul dapat diuruskan," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai pertemuan 23 MPKK Bukit Besi dengan pihak PTD Dungun, di Pejabat Tanah dan Daerah Dungun, hari ini.

Pada pertemuan itu, segala masalah dan perkara berbangkit telah diutarakan kepada Pegawai Daerah, Lizan Che Mat serta pegawai-pegawai yang lain.

"Alhamdulillah pertemuan ini sungguh positif dan setiap pengerusi MPKK yang hadir mewakili cawangan masing-masing berpuas hati.

"Kita mengharapkan agar hubungan ini berterusan untuk berperanan mensejahterakan rakyat," ujarnya.

Katanya, pertemuan tersebut akan menjadi satu titik permulaan kepada hubungan dua hala antara MPKK Bukit Besi dan PTD Dungun.

"Secara tidak langsung meningkatkan keupayaan MPKK supaya dilihat berkaliber dan mampu menyuarakan segala isu-isu rakyat serta dinilai juga diyakini oleh rakyat atau ahli didalam komuniti.

"Tidaklah MPKK dipandang sebelah mata, kerana setiap MPKK sudah tentu  mempunyai visi dan misi yang tersendiri dengan amanah yang telah dipertanggungjawabkan," ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: