Tuesday, 1 October 2019

MPKK Dun Jabi Kerja Keras Dapatkan Geran RM10,000

SHARE
Dr Azman Ibrahim.

Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 1 Oktober - Keseriusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi menyiapkan data profil kampung membuktikan kesungguhan mereka bagi mendapatkan Geran 10K untuk dimanfaatkan kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, hampir kesemua MPKK di Jabi telah selesai melengkapkan profil kampung masing-masing bagi membolehkan mereka mendapatkan geran berkenaan.

Jelasnya, melalui dana RM10,000 yang diperuntukkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu, ia boleh disalurkan kepada pelbagai aktiviti di kampung seperti program keceriaan, sukan dan majlis berbuka puasa.

“Di Jabi, daripada 37 MPKK hanya tiga MPKK sahaja lagi dalam proses melengkapkan profil kampung manakala bakinya telah siap serta sebahagian besarnya telah menerima geran MPKK.

“Bermakna mereka ini telah menyiapkan profil kampung masing-masing dan ini adalah pencapaian yang agak baik bagi sebuah MPKK yang baru ditauliahkan,” katanya di ‘Facebook’ rasminya, hari ini.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, dengan adanya data lengkap tersebut, pelbagai pelan gerak kerja yang melibatkan kebajikan, sosioekonomi dan pembangunan boleh dirancang dengan lebih bersepadu.

“Profil kampung ialah bank data berkaitan maklumat penduduk dalam kampung, kita boleh tahu orang tua, anak yatim, ibu tunggal, orang miskin dan sebagainya ada berapa ia juga termasuk data infrastruktur dan kemudahan asas.

“Tak cukup sekadar ada data profil kampung atas kertas tapi bila nak bagi bantuan, kita pilih anak-beranak dan kaum kerabat dahulu sedangkan sebagai pemimpin di kampung kita sedia maklum di mana ada orang susah dan miskin dalam kampung kita,” tambah beliau.








SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: