Tuesday, 8 October 2019

MP Pembangkang Bantah 24 Pindaan RUU IPCMC

SHARE
Ahmad Amzad Hashim (kanan) bersama Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Parlimen Kubang Kerian.

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC), yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat oleh  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Liew Vui Keong semalam di bantah keras oleh Ahli-ahli Parlimen Pembangkang.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, pihak pembangkang tidak bersetuju perkara ini terus dibahaskan begitu sahaja kerana ia melibat 24 pindaan.

“Ini adalah isu sensitif yang berkait dengan maruah Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri, yang sepatutnya amalan sebelum ini dibawa terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang akan membincang dan meneliti terlebih dahulu sebelum daripada dibahaskan.

“Sebaik ia dibahaskan ia tidak bermakna lagi, buat apa dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan kemudian baru bawa kepada jawatankuasa pilihan.

“Ini bukan satu amalan yang betul, yang seolah-olah tidak tahu buat kerja di Parlimen kita. Ini memalukan Parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen semalam.

Tambah Ahmad Amzad lagi, oleh kerana isu berkait dengan PDRM merupakan satu isu yang sangat sensitif, pembangkang perlu mempertahankannya bagi kepentingan rakyat.

“Dalam masa yang sama tidak boleh meletakkan satu keadaan di mana maruah PDRM dirobek begitu rupa.

“Kita sudah ada banyak suruhanjaya yang mengawal integriti pihak polis ini,” jelasnya.

Terdahulu, pada 18 Julai lalu, RUU IPCMC dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Dato' Liew Vui Keong.

IPCMC bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi mempertingkatkan integriti dan keupayaan PDRM.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: