Sunday, 20 October 2019

'Motosikal Ini Hadiah Hari Lahir Mama'

SHARE
Tengku Bijaya Raja menyampaikan hadiah utama kepada Qistina.

KUALA TERENGGANU, 19 Oktober- Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah yang terjadi kepada Nur Diana Qistina, 15, yang baharu pertama kali menyertai program larian bersama keluarganya dalam program Mental Health Do & Don’t Fun Run & Ride, hari ini.

Program yang berlangsung di hadapan Wisma Darul Iman itu menyaksikan pelajar berkenaan memenangi hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah motosikal jenama SYM.

Lebih manis, gadis dari Marang itu berhasrat memberikan motosikal yang dimenanginya sebagai hadiah ulang tahun kelahiran ibunya.

Lebih 600 sertai aktiviti berbasikal dalam program itu.

“Selamat hari lahir mama yang ke 55 dan ini sahajalah hadiah yang kakak boleh berikan. Tak sangka pula dapat hari ini.

“Program ini sangat seronok walaupun hujan dan kami juga sempat berhenti merakamkan gambar di Jambatan Angkat yang terkenal di Terengganu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program tersebut.

Tengku Bijaya Raja turut sertai aktiviti berbasikal.

Dalam pada itu, Tengku Bijaya Raja Pengarah Tanah dan Galian Terengganu yang turut menyertai program berkenaan, menzahirkan kegembiraan dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.

“Kita dapat sambutan yang begitu baik dengan penyertaan lebih 1,000 orang iaitu 600 lebih peserta berbasikal dan 400 lebih peserta larian walaupun dengan keadaan cuaca sedikit hujan.

“Program ini sebenarnya bertujuan untuk mempromosikan Hari Psikologi peringkat negeri yang akan dirasmikan pada 21 Oktober ini di Wisma Darul Iman. Jadi, saya ucapkan terima kasih dengan penyertaan dan sambutan ini,” katanya.

Aktiviti berbasikal dan larian melalui tempat-tempat menarik di Kuala Terengganu.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: