Tuesday, 8 October 2019

Mobile Team Rhu Rendang Hulur Bantuan

SHARE

Oleh: Aslam Wira




MARANG, 7 Oktober –  Sembilan penduduk yang berdaftar dibawah Program e-Kasih di kawasan Rhu Rendang, di sini menerima bantuan segera mengikut keperluan.

Ada di antara mereka menerima  bantuan sara hidup, perubatan, membaik pulih rumah, pembiayaan anak sekolah, barangan dapur, bantuan tambah modal  perniagaan dan  pendidikan.

Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, pelaksanaan Mobile Team  itu berkonsepkan lawatan ke rumah bagi mengenalpasti bentuk bantuan yang bersesuaian terhadap peserta terpilih dengan kadar segera (fast track).

Katanya, penyaluran bantuan adalah di bawah bantuan sedia ada jabatan dan agensi masing-masing.
“ Kehadiran kami juga adalah bagi menyiasat dan menimbang kelayakan pemohon selaku pelaksana program pembasmian kemiskinan di daerah Marang

“Lawatan tersebut turut disertai oleh agensi-agensi terbabit seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Marang, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, GiatMara, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM),”katanya.


Penyelia Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng juga berkata, dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berjaya mengenalpasti mereka yang kurang berkemampuan.

“Melalui maklumat tersebut, satu jelajah bersama ICU secara berkala telah dijalankan dari masa ke semasa di Dun Rhu Rendang.

“Dan mereka yang menerima bantuan ini adalah mereka yang layak dan telah berdaftar di bawah e-kasih”, tambahnya lagi.

Pejabat ADUN Rhu Rendang turut menyumbang sedikit bantuan berbentuk beras untuk keperluan dapur kepada peserta terpilih.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: