Tuesday, 29 October 2019

Mini Putrajaya Bakal Dibina Di Terengganu

SHARE


Oleh: Syed Kamal

KUALA TERENGGANU, 29 Oktober-
Terengganu bakal memiliki mini Putrajaya jika cadangan Projek Binaan Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu di Bandar Baru, Bukit Besar (KT Sentral) di sini, diluluskan kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK Ke-12) pada 2021.

Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata kerajaan Persekutuan menyokong penuh cadangan Projek KT Sentral yang dilihat sebagai prospek baik untuk menyediakan sistem pengangkutan bersepadu setempat.

Jelasnya, ia  merupakan sistem yang lebih canggih dengan kapasiti lebih besar, tersusun, moden dan berteknologi yang akan dapat meningkatkan kedatangan pelancong.

"Kerajaan pusat akan menyokong cadangan pembinaan itu, namun Kerajaan negeri perlu membuat pembentangan yang lebih terperinci kepada pihak kami untuk kelulusan.

"Cadangan projek KT Sentral yang dianggarkan bernilai RM156 juta ini akan dibentangkan di peringkat Pusat untuk diluluskan pada RMKe-12 dan difahamkan, ia dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di tapak KT Sentral di Bandar Baharu Bukit Besar, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Mohamed dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok.

Menurut Zuraida, KT Sentral ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan di Terengganu seterusnya menjadi Mini Putrajaya.

Tambahnya lagi, tapak KT Sentral yang telah digazet berkeluasan 17 ekar dan terletak di kawasan pembangunan beberapa agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kimia, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Kesihatan akan merangsang pertumbuhannya.

Beliau juga berkata, hentian bas sedia ada di Jalan Syed Husin, tidak akan dirobohkan, malah ia akan dinaiktaraf untuk memberi peluang kepada lebih ramai peniaga beroperasi di situ.

"Kedudukannya juga sangat strategik dan akan bertindak sebagai hub sokongan untuk sistem pengangkutan awam bersepadu di Kuala Terengganu," ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: