Thursday, 31 October 2019

Menang Piala Sheikh Kamal Adalah Bonus Buat Terengganu

SHARE
Hishamuddin (duduk tengah) bersama barisan pengurusan PBSNT dan RedOne. Foto oleh : Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU, 31 Oktober – Sekiranya Terengganu Football Club (TFC) berjaya mencapai kemenangan menentang Abahoni Limited dalam perlawanan akhir Piala Kelab Antarabangsa Sheikh Kamal pada jam 8.00 malam ini, ia merupakan bonus buat pasukan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya tidak menyangka prestasi cemerlang yang ditonjolkan oleh para pemain TFC berjaya membawa pasukan itu ke peringkat tertinggi dalam kejohanan berkenaan.

Jelasnya, objektif utama penyertaan skuad bimbingan Nafuzi Zain itu adalah untuk memberi pendedahan kepada bakat-bakat muda Terengganu.

“Alhamdulillah, pemain-pemain kita telah melakukan aksi yang terbaik apabila diberi pendedahan untuk bermain di sana.

“Separuh akhir tempoh hari, kesungguhan yang ditunjukkan mereka berjaya melayakkan TFC ke peringkat akhir, dan pada malam ini kita harap TFC menjadi juara dan apa-apa pun objektif utama kita telah tercapai,” ujarnya.

Kata Hishamuddin, skuad muda menunjukkan prestasi yang luar biasa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Menandatangani  Perjanjian Kontrak Penaja Utama PBSNT Musim 2020 di Bilik Mesyuarat PBSNT, Wisma Seri Amar, di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan perkembangan terkini pihaknya sudah boleh menyusun beberapa langkah awal bagi memperkemaskan pasukan untuk musim 2020.

“Dalam kejohanan tersebut saya sangat berpuas hati dengan prestasi yang ditonjolkan oleh pemain-pemain muda.

“Mereka menunjukkan komitmen dan keupayaan berada dalam kejohanan yang berprestij walaupun rata-rata mereka bermain dalam piala belia dan presiden, ini sangat membanggakan,” ujarnya.

Hishamuddin turut memaklumkan, selepas pertandingan terbabit beberapa lagi perlawanan persahabatan akan diatur bagi memperkuatkan pasukan.

“Saya dimaklumkan beberapa pasukan luar yang berpengkalan di Bangladesh dan India sudah membuat tawaran kepada TFC untuk mengadakan perlawanan persahabatan di Terengganu.

“Selain itu, kita juga sedang memilih satu tempat untuk melaksanakan aktiviti yang mampu meningkatkan prestasi pasukan termasuk perlawanan persahabatan yang lain,” tambah beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: